Terowong Menora: Patuhi syarat LLM sebelum mulakan projek jalan pintas- Fadillah


IPOH-- Syarikat swasta yang dilantik untuk melaksanakan cadangan projek membina jalan pintas dari Gopeng ke Kuala Kangsar bagi mengurangkan kemalangan maut berhampiran Terowong Menora, perlu mematuhi syarat Lembaga Lebuhraya Malaysia sebelum memulakan sebarang kerja pembinaan.


Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata antara syarat tersebut adalah membuat penilaian berkaitan impak pembinaan, persekitaran dan pengurusan trafik di kawasan dicadangkan.


“Kita ada bawa ke Kabinet dan secara prinsipnya sudah diluluskan (projek). Namun, syarikat dicadangkan perlu mematuhi keutamaan syarat yang ditetapkan LLM dan kerajaan.


“Salah satunya, ia perlu menyediakan laporan penilaian impak sosial dan trafik untuk memastikan projek itu berdaya maju apabila dilaksanakan.


“Untuk menentukan projek itu berdaya maju, ia melibatkan aspek kos projek dan jumlah tol yang dikenakan untuk membayar balik hutang operasi dan sebagainya,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Persidangan Pegawai Kanan (SOC) Jabatan Kerja Raya di sini hari ini.


Fadillah berkata projek dalam masa dua tahun itu akan dimuktamadkan apabila semua kajian telah selesai dilaksanakan dan dibentangkan kepada kerajaan.


Dilapor pada Mei, Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata kerajaan negeri dan Persekutuan sudah pun memberikan kelulusan terhadap pembinaan jalan baharu itu dengan jarak sejauh 64 kilometer (km).


Pembinaan jalan tersebut tidak melibatkan peruntukan kerajaan sebaliknya dilaksanakan oleh syarikat swasta yang diberi tempoh selama dua tahun untuk memulakan pembinaan laluan itu dan selepas dana diperoleh, urusan pengambilan tanah akan dilakukan.


Pada 12 Mei lepas, lima pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) rentung apabila kereta Honda City yang dinaiki mereka terbakar akibat dirempuh sebuah treler di Kilometer 245.2 Lebuhraya Utara Selatan arah utara di Kuala Kangsar, berdekatan Terowong Menora.


-- BERNAMA

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.