Kenal pasti projek bermasalah sebelum terlewat, tegas Fadillah


MERU-- Jabatan Kerja Raya perlu mengenal pasti lebih awal projek bermasalah supaya ia dapat diselamatkan sebelum terlewat, tegas Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof. 


Beliau memberitahu, JKR perlu inovatif dalam mencari penyelesaian menggunakan teknologi baharu. 



"Kita ada 'Create&Cream'. Manfaatkan kecerdasan buatan (Artificial Intelligence - AI). Kenal pasti lebih awal projek bermasalah supaya ianya dapat diselamatkan sebelum terlewat. 


"Kita buktikan setiap projek yang diserahkan kepada JKR adalah yang terbaik disiapkan mengikut mutu, tempoh dan bajet ditetapkan. Saya hargai komitmen semua," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Pegawai Kanan (SOC) JKR Malaysia 2022 di sebuah hotel di Meru, Ipoh pagi ini. 



Justeru, Fadillah melontar cabaran kepada JKR supaya membuktikan ia agensi teknikal unggul dan terbaik Negara.


"Saya mahu supaya JKR ke depan, kreatif dan inovatif, membuktikan ia agensi teknikal terbaik, dengan setiap projek yang diserahkan kepada agensi itu disiapkan mengikut mutu, tempoh dan bajet ditetapkan," tambahnya. 



Kata Ahli Parlimen Petra Jaya itu, satu lagi cabaran adalah kenaikan kos yang perlu JKR ditangani. 


"Apakah mampu kita siapkan ikut mutu, bajet dan tempoh ditetapkan? Apakah kontraktor dapat siapkan projek? Untuk mendapatkan tambahan peruntukan kini satu cabaran disebabkan komitmen kerajaan dalam menangani pandemik COVID-19 demi memastikan kesihatan dan kesejahteraan rakyat.



"Inilah cabaran kepada kita sebagai agensi pelaksana dengan kita kena kreatif dan inovatif. Fikir dan fahami perkara baharu. Teknik pembinaan jalan dan kaedah baharu yang boleh kita perkenalkan dengan teknologi terkini supaya infra yang kita bina lebih berdaya tahan. 


"Misalannya cat jalan 3 bulan dah mula pudar, bagaimana kita hendak tangani isu ini dan supaya tidak perlu terlalu banyak lampu jalan dan jimatkan tenaga," ujarnya lagi. 



Selain itu, beliau turut menggesa JKR mencari jalan dalam menyelesaikan isu kelewatan dalam menyiapkan projek yang menjadi rungutan pengguna ketika ini. 


"Saya harap SOC JKR 2022 membincangkan cara untuk menangani permasalahan dihadapi, cari jalan penyelesaian. 



"Kita perlu berkolaborasi bukan sahaja dalaman malah dengan pihak luar sama ada industri atau antara kerajaan dan mengambilkira penyelidikan akademik yang boleh diaplikasi sebagai penyelesaian supaya infra rakyat lebih berdaya tahan, mesra pengguna dan lebih selamat kepada pengguna," tegasnya. 


Dalam pada itu, Fadillah berkata, setiap tahun berlaku bencana di negara ini dengan setiap peringkat pengurusan dalam JKR perlu belajar daripada bencana ini.



"Apa yang boleh kita pelajari dari insiden bencana yang berlaku di n"egara ini setiap tahun? Kaedah penyelenggaraan? Dari segi reka bentuk? Asas bangunan dan infra?. 


"Lihat dari segi cabaran dan peluang yang boleh kita pertingkatkan. Apa boleh kita tambah baik termasuk hasil kerja kita," jelasnya. 

Next Post Previous Post