Notification

×

Iklan

Iklan

Subsidi untuk stabil harga, elak inflasi tinggi

| Jun 27, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-06-27T08:56:41Z

PUTRAJAYA-- Kerajaan sanggup menanggung subsidi dalam jumlah besar iaitu sehingga RM77.3 bilion yang diunjurkan tahun ini bagi menstabilkan harga barang serta mengelakkan kadar inflasi Malaysia daripada melonjak sehingga 11.4 peratus, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.


Beliau berkata kerajaan mempunyai pilihan untuk menghapuskan subsidi dan mengukuhkan kewangan negara pada paras lebih baik namun memilih untuk terus menanggung subsidi demi kesejahteraan dan kebajikan rakyat.


Katanya, pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tentang tiada kenaikan tarif air dan elektrik serta harga ayam tidak diapungkan pada 24 Jun lepas, menunjukkan keprihatinan dan komitmen kerajaan untuk mengekalkan subsidi.


Merujuk kepada unjuran perbelanjaan subsidi kepenggunaan berjumlah RM77.3 bilion bagi 2022, beliau berkata RM51 bilion daripadanya meliputi komponen terbesar bagi perbelanjaan subsidi bahan api, minyak masak, elektrik, air, ayam dan telur menyaksikan kerajaan memainkan peranan penting dalam menstabilkan harga barangan di pasaran.


“Tanpa subsidi ini (RM51 bilion), maka inflasi 2.8 peratus pada Mei 2022 mungkin menjadi 11.4 peratus. Ini menggambarkan peranan dimainkan subsidi yang diberikan kerajaan dalam menstabilkan harga di negara kita,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Statistics Data Warehouse 2.0 (StatsDW) di sini hari ini. 


Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz pada 25 Jun berkata angka RM77.3 bilion meliputi petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) (RM37.3 bilion); minyak masak (RM4 bilion); tepung dan elektrik bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat, serta bil subsidi (RM9.7 bilion), serta ditambah dengan bantuan lain seperti Bantuan Kebajikan Masyarakat termasuk Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) (RM11.7 bilion) dan lain-lain subsidi (RM14.6 bilion).


"Tanpa subsidi sudah pasti kedudukan kewangan kerajaan akan bertambah baik tetapi kerajaan mengambil kira keperluan rakyat jadi kerajaan berbelanja (subsidi) untuk kesejahteraan rakyat dan untuk membantu meringankan beban rakyat," kata Mustapa.


Mustapa tidak menolak kemungkinan pemberian subsidi terbesar itu akan memberi kesan kepada defisit fiskal negara, dan kerajaan perlu melihat kepada langkah penjimatan.


“Sudah pasti (subsidi) akan beri tekanan kepada perbelanjaan negara, jadi kerajaan perlu melihat kepada langkah penjimatan iaitu berkaitan dengan perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan pembangunan bagi memastikan kedudukan kewangan kerajaan kekal kukuh,” katanya.


Ditanya sama ada kerajaan akan mempertimbangkan untuk menangguhkan pelaksanaan projek mega bagi menjimatkan perbelanjaan, Mustapa berkata biarpun tiada keputusan muktamad mengenainya namun menekankan mengenai langkah penjimatan dilaksanakan susulan krisis global ketika ini.


“Kerajaan belum putuskan lagi sama ada untuk menangguh pelaksanaan projek mega memandangkan keadaan agak dinamik dan berubah dari semasa ke semasa,” katanya merujuk kepada harga minyak dunia yang tinggi dan krisis geopolitik Ukraine-Rusia tidak menentu.


Perbelanjaan mengurus ialah perbelanjaan semasa atau perbelanjaan berulang kerajaan bagi membiayai pengurusan dan pentadbiran negara manakala perbelanjaan pembangunan ialah perbelanjaan yang dilibatkan untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan sosial negara seperti pembinaan sekolah dan infrastruktur.


Terdahulu dalam ucapannya, Mustapa berkata keperluan untuk menyimpan data dalam satu gudang tunggal menjadi semakin penting dalam mendepani isu global seperti sekuriti makanan dan kadar inflasi, dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berperanan untuk menterjemah dan menyusun statistik berkaitan.


“Dengan ketersediaan pelbagai statistik dalam StatsDW DOSM, analisis data dapat dilaksanakan dengan tepat dan efisien,” katanya pada majlis yang turut dihadiri oleh Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.


StatsDW 2.0 adalah kesinambungan dan penambahbaikan daripada StatsDW yang dilancarkan pada 2016, iaitu satu solusi bagi menampung limpahan data dari pelbagai sumber selain menggalakkan perkongsian data antara agensi sektor awam.


-- BERNAMA

×
Berita Terbaru Update