Sayap Pergerakan Belia: PBB tunggu 'lampu hijau' ROS


KUCHING--Permohonan untuk menubuhkan sayap baharu Pergerakan Belia Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) masih menunggu kelulusan daripada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS), kata Ketua Setiausaha Politik Premier Sarawak Fazzrudin Abdul Rahman.


Timbalan pengerusi jawatankuasa penubuhan sayap baharu itu berkata, PBB menyerahkan perkata tersebut kepada ROS untuk memproses permohonan mereka.


Jelasnya, PBB pada Mesyuarat Agung Tritahunan (TGM) lepas telah meluluskan penubuhan sayap baharu itu, dianggotai ahli yang berusia 18 hingga 28 tahun.


"Kami telah mengumpul kumpulan nama mereka yang telah menunjukkan minat sebelum ini untuk mendaftar dan menyertai (sayap baharu) parti," katanya.


Fazzrudin berkata demikian ketika ditemui pemberita semalam selepas merasmikan Majlis Penutup Hari Terbuka Belia di Matang Jaya di sini hari ini.


Beliau turut menjangkakan semua cawangan PBB di seluruh negeri akan membentuk sebuah sayap di peringkat cawangan selepas mendapat kelulusan daripada ROS.


Ditanya mengenai jumlah pemohon yang telah memohon menyertai sayap baharu itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong itu berkata, bagi kawasan pilihan rayanya, terdapat lebih 1,000 belia yang telah mendaftar.


"Saya tidak mempunyai angka sebenar di seluruh negeri, tetapi untuk Tupong, saya diberitahu bahawa terdapat lebih 1,000 pemohon," ujarnya.


Menyentuh tentang harapan beliau terhadap sayap baharu ini, Fazzrudin menegaskan sebagai sebuah parti politik, ia dapat menerapkan pengetahuan politik yang diperlukan kepada golongan muda.


“Ia juga akan membentuk nilai-nilai politik dan bagaimana ia akan memberi manfaat kepada pembangunan masyarakat,” ujarnya.


Bagi aktiviti pula, beliau memberitahu memandangkan perbezaan umur anggota sayap baharu itu berbanding sayap lain yang ada dalam PBB, beliau menjangka sayap baharu itu bakal menganjurkan aktiviti yang memenuhi bidang tertentu.


Terdahulu, dalam ucapannya beliau berkata kerajaan negeri telah menyediakan ekosistem di mana golongan belia boleh maju.


"Premier Sarawak telah menegaskan perkara ini, supaya ada kesinambungan kepimpinan pada masa depan.


"Kami mahu melatih belia supaya apabila tiba masanya untuk mereka memikul kepimpinan dan menjadi pemimpin maka mereka sudah memiliki pengetahuan dan pengalaman yang diperlukan," tambahnya.

Next Post Previous Post