Skuad Harimau Malaya cemerlang benam Turkmenistan 3-1

Skuad Harimau Malaya cemerlang benam Turkmenistan 3-1. Gambar kredit Football Association of Malaysia

KUALA LUMPUR—Malaysia mengejutkan pasukan di ranking lebih baik Turkmenistan 3-1 untuk memulakan misi memburu tempat di pusingan akhir Piala Asia 2023, dengan bergaya di Stadium Nasional di Bukit Jalil di sini, malam ini.


Lebih manis, kejayaan pada perlawanan sulung Kumpulan E itu disaksikan lebih 21,000 penonton, yang merindukan aksi pasukan negara dalam saingan kompetitif di laman sendiri, sejak kali terakhir pada November 2019 sebelum pandemik COVID-19 menyerang.


Hanya satu pertukaran dalam kesebelasan utama pasukan negara berbanding skuad yang mengatasi Hong Kong 2-0 pada aksi persahabatan antarabangsa Rabu lepas, dengan Mohamad Faisal Abdul Halim diturunkan menggantikan Muhammad Akhyar Abdul Rashid, di sebelah sayap kiri.


Pada pertembungan malam ini, Malaysia lebih mendominasi perlawanan dengan permainan garang apabila melancarkan asakan bertali arus ke kubu pertahanan lawan, yang membawa kepada gol pembukaan hasil penyudah Muhammad Safawi Rasid pada minit ke-11.


Jaringan tersebut berpunca dari hantaran lintang Arif Aiman Mohd Hanapi dari sebelah kiri gawang lawan yang gagal ditampan kemas penjaga gol Mammet Orazmuhammedov, sebelum Muhammad Safawi yang tidak dikawal tenang melepaskan rembatan tepat ke gawang.


Malaysia dibimbing ketua jurulatih Kim Pan Gon terus ghairah memburu gol terlepas peluang untuk menambah jaringan pada minit ke-15 selepas penyerang Darren Lok gagal menyambar hantaran lintang Matthew Davies.


Namun seminit kemudian gol kedua pasukan negara hadir menerusi penyudah Mohamad Faisal Halim, selepas pemain sayap itu berjaya melepasi benteng pertahanan sebelum melepaskan rembatan padu dalam situasi satu lawan satu berdepan Orazmuhammedov.


Ketinggalan 2-0, jaringan penyerang Altymyrat Annadurdyyev pada minit ke-38 menyalakan harapan Turkmenistan, dengan beliau memanfaatkan kesilapan pertahanan negara untuk menebus kekecewaannya selepas gagal menewaskan penjaga gol Farizal Marlias dalam beberapa percubaan sebelum itu.


Menghampiri rehat, Malaysia melebarkan penguasaan dengan gol ketiga dengan giliran pemain pertahanan Corbin Ong, mencetak nama sebagai penjaring selepas membuat larian solo daripada kawasan negara sebelum melepaskan rembatan yang gagal ditampan Orazmuhammedov.


Bersambung babak kedua, kedua-dua pasukan buntu menambah koleksi jaringan meskipun berjaya mencipta beberapa gerakan berbahaya, dengan rembatan kapten Arslan Amanov gagal menemui sasaran pada minit ke-62.

 

Farizal sekali lagi dipaksa bekerja keras menyelamatkan percubaan pemain gantian Begmyrat Bayov dari luar kotak penalti pada minit ke-73, sebelum Mohammad Syamer Kutty Abba terlepas peluang menjaringkan gol keempat negara menerusi rembatan leretnya yang ditampan penjaga gol pada minit ke-84.


Keputusan 3-1 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan pengadil Omar Mubarak Mazaroua Al Yaqoubi dari Oman, dengan Mohamad Faisal dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan.


Sebagai rekod, Turkmenistan berada di ranking ke-134 dunia sementara Malaysia kini di kedudukan ke-154.


Kejayaan mengutip tiga mata itu menyaksikan Malaysia kini menghuni tangga teratas saingan Kumpulan E, dengan berkongsi tiga mata bersama Bahrain di tempat kedua yang turut merakam kemenangan 2-0 ke atas Bangladesh dalam aksi kumpulan terdahulu.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post