Sekolah Alternatif Semporna, bantu kanak-kanak terabai tinggalkan tabiat hidu gam

Sekolah Alternatif Semporna memberi peluang kepada kanak-kanak mengikuti pendidikan seterusnya dilindungi daripada terjebak dengan gejala sosial.  Gambar kredit Sekolah Alternatif Semporna

KUALA LUMPUR—“Saya mahu makan, mewarna dan belajar membaca,” demikian reaksi spontan Asri, 9, seorang pelajar kelas pemulihan penghidu gam di Semporna, Sabah apabila ditanya mengapa dia hadiri kelas pemulihan di Kampung Air Hujung Semporna itu.


Safirah,13, sorang lagi pelajar kelas pemulihan di Sekolah Alternatif Semporna, itu pula berkata: “Saya hidu gam kerana rasanya seperti gula-gula. Sekarang, saya seronok belajar di sekolah pemulihan”. 


Mungkin alasan kanak-kanak ini mengapa mereka menghidu gam dan mengikuti kelas pemulihan itu agak remeh namun bagi kumpulan aktivis alumni Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang menggerakkan sekolah itu, kesanggupan kanak-kanak malang itu hadir ke kelas, adalah satu kejayaan awal.


Matlamat aktivis ini adalah memulihkan kanak-kanak ini secara beransur-ansur daripada tabiat menghidu gam di samping memberikan mereka pengetahuan asas seperti membaca, mengira, menulis serta mendedahkan mereka mengenai kepentingan penjagaan kebersihan melalui modul yang disediakan.


Secara tidak langsung kanak-kanak yang tidak berpeluang mengikuti pendidikan formal seperti kanak-kanak lain disebabkan pelbagai masalah termasuk ketiadaan dokumen peribadi dan peraturan pihak berkuasa akan dapat dilindungi daripada terus terjebak dengan gejala sosial.


Guru Sekolah Alternatif itu Mukmin Nantang, 28, berkata mereka menyewa sebuah rumah di  Kampung Air Hujung Semporna untuk dijadikan kelas dan sebagai tempat menggerakkan kelas pemulihan bertemakan “Pendidikan Alat Perubahan Bangsa’ yang bermula pada awal tahun ini.


Menurut Mukmin antara faktor yang mendorong mereka membuka kelas itu ialah agar kanak-kanak berkenaan dapat diberi ruang selamat untuk belajar dan akhirnya berhenti daripada kegiatan negatif itu.


“Kenapa mereka hidu gam? Kerana mereka lapar dan miskin jadi mereka mahu khayal untuk hilangkan kelaparannya dan kedua ialah kerana tiada didikan. Jadi kami masukkan ke dalam modul kami agar mereka dapat makan dan belajar.


“Saya boleh katakan 50 peratus anak-anak ini sudah mula tinggalkan gam secara perlahan-lahan, ada yang menghidu gam dalam kadar yang kurang dan ada juga yang masih belum meninggalkan gam, tapi itu bukan KPI (petunjuk prestasi utama) kami untuk mereka berhenti gam cepat-cepat (segera),” katanya ketika dihubungi Bernama. 


Seorang lagi aktivis sekolah itu Siti Suhaimah Mustapa pula berkata pada masa ini kelas pemulihan penghidu gam itu dibuka pada setiap hari Rabu setiap minggu, melibatkan belasan pelajar berumur enam hingga 13 tahun dan mungkin akan diadakan lebih kerap pada bulan-bulan akan datang bergantung kepada kemampuan aktivis.


“Pada mulanya aktivis yang mencari kanak-kanak yang berkeliaran ini dan atas pengetahuan ibu bapa atau penjaga mereka, kanak-kanak ini kami bawa ke kelas, tapi sekarang mereka datang sendiri ke sekolah,” katanya.


Sementara itu, pensyarah Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Anuar Ahmad berkata beliau berasa bangga dan kagum kerana ada aktivis melakukan khidmat masyarakat yang baik kepada kanak-kanak khususnya yang terlibat dengan penyalahgunaan gam.


“Isu ketagihan gam ini telah berlaku sekian lama dan kebanyakannya terdiri daripada kumpulan anak anak keluarga gelandangan, bukan warganegara dan juga anak-anak di kawasan penempatan miskin termasuklah di kawasan nelayan,” katanya kepada Bernama. 


Menurutnya kanak-kanak ada hak untuk mendapat pendidikan dan menjadi  tanggungjawab global untuk memberikan pendidikan kepada semua kanak-kanak berdasarkan prinsip Pendidikan Untuk Semua (EFA) oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).


Justeru Anuar mencadangkan agar ada pihak mengambil inisiatif mendekati sekolah pemulihan penghidu gam itu dan memberikan panduan mengenai kemahiran mengurus sekolah, bantuan buku dan peralatan menulis bagi meringankan usaha kesatuan ini untuk membantu anak-anak yang ketagihan gam.


“Polisi EFA perlu dijalankan, kita perlu masukkan mereka (kanak-kanak warganegara dan bukan warganegara) ke sekolah untuk belajar kerana memasuki sekolah bukan untuk kecemerlangan akademik semata-mata malah ia suatu mekanisme untuk kita pastikan bahawa kanak-kanak sejak kecil lagi sudah dipantau dan dikawal perkembangan mereka dari semasa ke semasa,” katanya.


Sementara itu, Pengarah Perlindungan Sosial, Pembangunan Sumber Manusia bagi Kawasan Luar Bandar (DHRRA) Maalini Ramalo berkata akses pendidikan untuk golongan rentan termasuk bukan warganegara perlu diutamakan.


“Pendidikan harus ditawarkan untuk semua dan peluang sama rata perlu diberikan kepada semua kanak-kanak tanpa mengira latar belakang dan status kerakyatan mereka,” katanya.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post