Remaja 14 tahun antara 21 ditahan curi motosikal


BUKIT MERTAJAM—Polis berjaya menumpaskan lima geng curi motosikal rentas negeri selepas menahan 21 individu termasuk seorang pelajar sekolah, dalam beberapa serbuan di Kedah dan Pulau Pinang, baru-baru ini.


Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Shafee Abd Samad berkata anggota Geng Kupang, Geng Humairah, Geng Chot, Geng Pondok dan Geng Junjong itu ditahan dalam operasi antara 18 Mei dan 1 Jun lepas.


Beliau berkata susulan peningkatan kes-kes kecurian motosikal di daerah itu yang menyaksikan 37 kes kehilangan motosikal dilaporkan sepanjang bulan April dan Mei lepas, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah SPT telah menubuhkan satu pasukan khas bagi melancarkan operasi berkenaan.


"Dalam operasi itu, polis berjaya menahan 21 orang termasuk dua wanita, semuanya berumur 14 hingga 37 tahun. Mereka merupakan ahli geng curi motosikal yang aktif di sekitar negeri ini dan Kedah," katanya dalam kenyataan hari ini.


Katanya semua mereka ditahan dalam serbuan di sekitar Kupang, Baling, Sik dan Junjong di Kedah serta Seberang Perai Utara, Juru dan Bukit Tengah, di sini.


Shafee berkata operasi itu turut menyaksikan 12 motosikal, tiga casis motosikal serta satu enjin motosikal yang dipercayai hasil curi, dirampas, dan dengan tertumpasnya lima geng itu, polis berjaya menyelesaikan beberapa kes kecurian motosikal di sekitar Pulau Pinang.


Beliau berkata sebahagian daripada mereka yang ditahan itu mempunyai pelbagai rekod lampau antaranya berkaitan curi motosikal, pecah rumah dan dadah.


"Seorang daripada yang ditahan itu adalah pelajar Tingkatan Dua manakala yang lain kebanyakkannya penganggur, bekerja sendiri dan buruh. Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan," katanya.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post