Polis tahan pasangan suami isteri tipu tempahan rumah inap

Gambar hiasan

KUALA TERENGGANU—Polis Terengganu menahan sepasang suami isteri yang disyaki terlibat dalam kes penipuan tempahan rumah inap yang dilaporkan berlaku di negeri ini, baru-baru ini.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu Supt M. Zambri Mahmud berkata pasangan suami isteri yang berumur 27 dan 26 tahun itu ditangkap hasil serbuan di sebuah rumah di Dungun, semalam.


“Dalam serbuan tersebut, turut dirampas masing-masing satu unit kad ATM, telefon bimbit, SD Microkad dan simkad,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Katanya kedua-dua suspek warga tempatan itu ditahan reman empat hari sehingga Ahad setelah mendapat kebenaran Mahkamah Majistret Kuala Terengganu.


Dilaporkan baru-baru ini, hasrat beberapa pelancong untuk bercuti ke Terengganu terbantut selepas mendapati lokasi rumah inap yang ditempah mereka sebenarnya tidak wujud.


Mangsa dilaporkan cuba menghubungi ‘pemilik’ rumah inap itu namun gagal dan penduduk yang tinggal berdekatan lokasi berkenaan memaklumkan bahawa rumah inap tersebut tidak wujud.


M. Zambri berkata, setakat ini pihaknya menerima satu laporan daripada seorang mangsa yang menerima pesanan ringkas daripada satu nombor telefon bimbit yang mengaku sebagai pemilik rumah inap di Jalan Pasir Panjang, di sini.


Katanya pada hari yang sama juga mangsa telah membuat pembayaran secara dalam talian sebanyak RM221.50 ke satu akaun dan telah pergi ke ‘rumah inap’ berkenaan namun mendapati ia sebenarnya tidak wujud.


-- BERNAMA

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.