Polis Indonesia tumpas cubaan seludup dadah guna laluan sempadan

Kepala BNNP Kalbar Brigjen Pol. Budi Wibowo menunjukkan dadah syabu yang dirampas. Teks dan gambar kredit Redaksisatu.id

KALIMANTAN BARAT — Badan Narkotika Provinsi (BNNP) Kalimantan Barat (KALBAR) berjaya mematahkan penyeludupan dadah menahan lima individu dan merampas kira-kira 31 kilogram syabu di kawasan sempadan Indonesia-Malaysia.


Memetik redaksisatu.id, Kepala BNNP Kalbar Brigjen Pol Budi Wibowo berkata, kelima-lima suspek berusia antara 20 dan 47 tahun ditahan dalam tiga serbuan di lokasi berbeza pada 3 Jun dalam satu operasi bersama BNNP Kalbar, Ditnarkoba Polda Kalbar dan Bea Cukai Kalbar.



Katanya, dalam serbuan pertama sekitar jam 4.55 petang waktu Indonesia, telah menahan tiga suspek dikenal pasti sebagai Mawari Als. Wari (38), Syaid Rukhan (20) dan Evri Prayoga Als. Alam (20) dalam sebuah kenderaan jenis Toyota Cayla yang dalam perjalanan dari arah Semparuk, Sambas menuju Pontianak.


“Berdasarkan maklumat yang diterima, suspek menggunakan kenderaan pacuan empat roda menyeludup masuk syabu melalui jalan tikus di Paloh, Sambas sempadan Malindo menuju ke Pontianak. Pemeriksaan lanjut mendapati mereka membawa dadah jenis syabu.” katanya dalam sidang media di Pontianak semalam.


Budi menambah, serbuan kedua sekitar jam 8.30 malam waktu Indonesia, BNNP berjaya menahan seorang suspek dikenal pasti sebagai Mulyadi, 40 dalam sebuah kenderaan jenis Toyota Fortuner di sebuah jalan di Singkawang juga datang dari arah Sambas.


Pemeriksaan lanjut menemukan bungkusan mengandungi 30 paket dadah jenis syabu. 


“Penahanan Mulyadi telah membawa kepada seorang lagi suspek dikenal pasti sebagai Ridwandi yang berjaya ditahan sekitar jam 11.56 malam waktu Indonesia di Pontianak Timur.


Keseluruhan rampasan dadah ialah seberat kira-kira 31 kilogram dan dianggarkan bernilai sekitar Rp9,3 miliar,” kata Budi.


Tambah Budi, kejayaan ini menyelamatkan sekitar 124,792 orang di Kalbar dari penyalahgunaan dadah jenis syabu.


Turut dirampas lapan unit telefon bimbit, Toyota Fortuner, Toyota Cayla dan motosikal Yamaha yang digunakan suspek.

Next Post Previous Post