PH fail tindakan mahkamah, tuntut 40 peratus hak Sabah

Ahli Parlimen dan ADUN Sabah dari PH menuntut 40 peratus hak Sabah di Mahkamah Tinggi, Kota Kinabalu hari ini. Gambar kredit Fb Pakatan Harapan

KOTA KINABALU—Wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) Sabah hari ini memfailkan tindakan undang-undang untuk mendapatkan pengisytiharan mengenai 40 peratus hasil hak Sabah yang diperoleh kerajaan Persekutuan dari Sabah setiap tahun.


Peguam Nelson W. Angang yang mewakili PH Sabah berkata enam Ahli Parlimen (MP) dan tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah dari PH telah memulakan saman pemula sebagai plaintif dan menamakan kerajaan Malaysia dan kerajaan negeri Sabah sebagai defendan pertama dan kedua.


Beliau berkata saman pemula itu difailkan di Mahkamah Tinggi di sini untuk mendapatkan pengisytiharan bahawa hak hasil 40 peratus Sabah masih terpakai. 


“Jawapan Menteri Kewangan yang mewakili Kerajaan Persekutuan baru-baru ini yang mengatakan bahawa hak 40 peratus untuk Sabah tidak lagi terpakai, jadi kami mahu pengisytiharan daripada mahkamah bahawa ia masih terpakai,” katanya dalam sidang media di sini hari ini. 


Turut hadir Pengerusi PH Sabah Datuk Christina Liew dan Naib Presiden UPKO Datuk Ewon Benedick.


Pada 14 April lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dalam kenyataan bersama berkata geran khas baharu untuk Sabah meningkat 4.7 kali ganda daripada RM26.7 juta kepada RM125.6 juta bagi tahun 2022.


Jumlah itu meningkat selepas kedua-kedua kerajaan mencapai persetujuan mengenai semakan geran khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan dan perjanjian baharu itu termasuk kedua-dua kerajaan terus berunding mengenai tuntutan hasil 40 peratus oleh Sabah.


Nelson seterusnya berkata mereka turut menuntut perisytiharan bahawa sebarang semakan di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan mesti berasaskan kepada 40 peratus berkenaan dan status ‘rundingan selanjutnya’ bukanlah suatu kepastian.


Wakil rakyat PH Sabah terdiri daripada MP Tawau yang juga ADUN Api-Api (PKR) Liew, MP Putatan Awang Husaini Sahari (PKR), MP Tuaran Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (UPKO),  MP Kota Kinabalu Chan Foong Hin (DAP), MP Sandakan Vivian Wong (DAP), MP Tenom Noorita Sual (DAP).


ADUN Tanjong Papat Datuk Frankie Poon (DAP), ADUN Likas Tan Lee Fatt (DAP), ADUN Luyang Phoong Jin Zhe (DAP), ADUN Kapayan Jannie Lasimbang (DAP), ADUN Inanam Peto Galim (PKR) dan ADUN Kadamaian Ewon (UPKO).


-- BERNAMA

Next Post Previous Post