PGA patahkan cubaan seludup 11,700 biji telur penyu di Lawas

Sebanyak 11,700 biji telur penyu disimpan dalam kotak polistirena untuk dijual kepada pembeli di Sundar Lawas. Gambar kredit PGA

LAWAS— Seorang lelaki ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Limbang ketika cuba menyeludup masuk 11,700 biji telur penyu di Kompleks Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Merapok-Lawas di sini pada Sabtu.


Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, bertindak atas maklumat risikan, sepasukan anggota PGA menerusi Operasi Bersepadu Khazanah telah membuat pemeriksaan ke atas satu buah kenderaan jenis Toyota Hilux Vigo.


Anggota Pasukan Gerakan Am berjaya mematahkan satu cubaan membawa 11,700 biji telur penyu melalui jalan darat di ICQS Merapok-Lawas. Gambar kredit PGA


“Semasa pemeriksaan, lelaki tersebut mengaku sebagai pemandu dan penumpang kenderaan tersebut. Hasil pemeriksaan lanjut subjek tidak dapat menyatakan dokumen pemilikan yang sah  ke atas telur penyu.


Pemeriksaan lanjut mendapati 11,700 biji telur penyu disimpan di dalam kotak. Berdasarkan harga pasaran iaitu RM2.50 sebiji, jumlah keseluruhan telur penyu ini dianggarkan bernilai RM29,250,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook hari ini.


Lelaki ditahan di ICQS Merapok-Lawas ketika cuba seludup telur penyu dari Kota Kinabalu ke Sundar Lawas. Gambar kredit PGA


Turut dirampas sebuah kenderaan jenis  Toyata Hilux dianggarkan bernilai RM 80,000.00.


Siasatan awal mendapati, suspek menjelaskan barangan tersebut diperolehi daripada Kota Kinabalu dan dibawa menggunakan kenderaan melalui jalan darat ke Kampung Sundar Lawas untuk diserahkan kepada pembeli.


Sebahagian daripada telur penyu yang dirampas daripada penyeludup. Gambar kredit PGA


Kesalahan disiasat mengikut Seksyen 29 (1) Ordinan Perlindungan Hidupan Liar Sarawak 1998.


Tangkapan dan rampasan dibawah Ordinan Perlindungan Hidupan Liar Sarawak dan diserahkan kepada Sarawak Forestry Corporation (SFC) Lawas  untuk tindakan dan siasatan lanjut. 

Next Post Previous Post