APM tangkap buaya sesat masuk longkang

APM menangkap buaya katak yang tersesat di dalam longkang di kawasan perumahan Taman Semumok malam tadi. Gambar kredit APM Betong


BETONG—Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Betong menangkap seekor buaya katak sepanjang kira-kira lima kaki selepas terperangkap di dalam longkang perumahan Taman Semumok dekat sini malam tadi.


Kehadiran buaya itu disedari oleh orang awam yang kemudiannya menghubungi APM bagi mendapatkan bantuan untuk menangkap haiwan liar itu.



Pegawai Pertahanan Awam Daerah (PPAD) Betong, Lt.Muda(PA) Desem Samuel memberitahu, pihaknya menerima panggilan orang awam sekitar jam 10.25 malam  memaklumkan terdapat seekor buaya ‘sesat’ dalam longkang dihadapan rumahnya.


“Penghuni yang terkejut melihat kelibat buaya itu bertindak memohon bantuan APM Betong untuk menangkap haiwan terlindung tersebut yang dikhuatiri mengancam keselamatan.


Bertindak atas laporan, sepasukan lima anggota dari Skuad BRAVO bergegas ke lokasi bagi membantu menangkap reptilia tersebut.


“Ketika tiba di lokasi, terdapat seekor buaya katak sepanjang kira-kira lima kaki berada dalam longkang di hadapan rumah pengadu.


Anggota kami telah bertindak mengepung buaya tersebut sebelum berjaya menangkapnya,” katanya.


APM mengambil masa 14 minit untuk menjinakkan haiwan terlindung tersebut sebelum berjaya menangkapnya dengan teknik jerutan.


Buaya tersebut dibawa ke Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Betong untuk tindakan selanjutnya.

Next Post Previous Post