Petronas Dagangan meterai perjanjian jualan inventori kerja, produk tidak terjual kepada Petco

Gambar arkib kredit Petronas

KUALA LUMPUR— Petronas Dagangan Bhd (PDB) telah memeterai enam perjanjian tambahan untuk menjual inventori kerja dan “deadstock” dalam tangki simpanan di terminal bahan api terpilih kepada Petco Trading Labuan Company Ltd, subsidiari milik penuh tidak langsung Petroliam Nasional Bhd pada harga RM132.93 juta.


PDB dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata sejumlah 14 terminal bahan api terpilih telah dikenal pasti bagi pelaksanaan model operasi baharu (NOM) yang akan dibuat secara berfasa berdasarkan kesediaan produk dan operasi.


"PDB telah bersetuju menjual inventori kerja dan ‘deadstock’ kepada Petco Trading Labuan (PTLCL) dengan kontrak individu yang dimeterai secara berfasa untuk 14 terminal bahan api," katanya.


Pelaksanaan NOM itu adalah terkait dengan Terminal Minyak Bebas Senari, Pusat Terminal Pengedaran Minyak Tanjung Manis, Terminal Pengedaran Bahan Api Lembah Klang, Terminal Bahan Api PST Tawau, Terminal Bahan Api PST Bintulu dan Terminal Penerbangan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.


"Dengan projek ini, Petco Trading Labuan telah mengambil alih pemilikan semua inventori, menjalankan proses pengurusan inventori dan penghantaran untuk PDB di terminal terpilih," katanya. 


Dengan menjalankan proses pengurusan inventori secara menyeluruh, Petco Trading Labuan akan dapat mengoptimumkan serta memastikan produk berkenaan lebih berdaya saing untuk PDB.


"Pemindahan pemilikan inventori dari PDB ke Petco Trading Labuan akan menghapuskan pendedahan pergerakan plats Singapura (MOPS) kepada PDB terutamanya apabila MOPS berada pada aliran menurun yang akan memberi kesan kepada daya saing harga produk serta kerugian," katanya. 


PDB berkata hasil daripada urus niaga itu akan digunakan untuk keperluan perbelanjaan operasi harian syarikat.


Transaksi tersebut tidak akan mempunyai kesan material ke atas pendapatan sesaham PDB bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2022. 


Pada penutup, saham PDB naik 2.94 peratus kepada RM21.68 dengan 291,000 saham bertukar tangan.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post