-->

Notification

×

Iklan

Iklan

Perlaksanaan semula GST: Harga kereta dijangka naik 1-3 peratus

| Jun 03, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-06-03T07:38:58Z

KUALA LUMPUR-- Harga kereta di Malaysia dijangka meningkat sebanyak satu hingga tiga peratus sekiranya cukai barang dan perkhidmatan (GST) dilaksanakan semula, kesan yang berbeza berbanding impak daripada pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) pada 2018, kata AmInvestment Bank Bhd.


Penganalisis Alex Goh berkata sektor amanah pelaburan hartanah (REIT) dan media juga dijangka terkesan manakala sektor hartanah akan terdedah kepada permintaan lemah akibat daripada harga produk yang mahal di tengah-tengah peningkatan kebimbangan kemampuan pembeli.  


“REITs juga boleh mengalami trafik pengunjung dan pertumbuhan jualan penyewa yang perlahan berikutan pengurangan perbelanjaan pengguna, manakala sektor media mungkin terkesan akibat daripada jumlah pelanggan dan perbelanjaan pengiklanan yang berkurangan,” katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.  


Bagaimanapun, Goh berkata kebanyakan sektor seperti bank, minyak dan gas, telekomunikasi, kuasa, penjagaan kesihatan, sarung tangan, pembuatan, perjudian dan teknologi  dijangka tidak terkesan daripada pelaksanaan GST.


“Pengeluar makanan penting seperti Nestle mungkin mendapat manfaat daripada bantuan tunai kepada kumpulan B40 dan kumpulan pendapatan pertengahan M40,” katanya.


Goh juga menjangka pelaksanaan semula GST akan membawa impak sifar kepada kebanyakan konstituen petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI), oleh itu, beliau mengekalkan sasaran akhir tahun 2022 FBM KLCI pada 1,745.


Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini dilaporkan sebagai berkata Malaysia sedang menimbang untuk memperkenalkan semula GST bagi meningkatkan asas hasilnya dan menampung subsidi awam. 


“Beliau berkata meskipun menyedari persepsi negatif yang menyelubungi GST, kerajaan tidak mempunyai banyak pilihan untuk menambah dana negara. 


“Perdana menteri berkata kerajaan menyasar kadar GST yang tidak terlalu tinggi yang boleh membebankan rakyat namun tidak terlalu rendah yang tidak mampu untuk menambahkan hasil," katanya. 


Goh menambah, pada Mac tahun ini Kementerian Kewangan menyatakan bahawa ia sedang menilai pengenalan semula GST sebagai sebahagian daripada pembaharuan fiskal utama untuk mengukuhkan kapasiti hasil negara. 


Bank Negara Malaysia turut menyuarakan sokongan kepada pelaksanaan semula GST kerana ia akan meringankan beban kewangan berat yang dihadapi kerajaan. 


--BERNAMA

×
Berita Terbaru Update