Pengilang minyak sawit digesa teruskan operasi, elak pekebun kecil terjejas


BANGI—Pengilang minyak sawit yang bertindak menghentikan operasi susulan kejatuhan mendadak harga minyak makan, digesa meneruskan semula operasi dengan segera, kata Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng.


Ketika membuat gesaan itu, beliau berkata tindakan pengilang terbabit tidak membeli buah tandan segar (BTS) bukan setakat menjejaskan stok sedia ada, malah turut memberi kesan negatif kepada kalangan pekebun kecil. 


Sehubungan itu, beliau telah berbincang dengan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) selaku badan induk minyak sawit negara yang akan mengadakan pertemuan dengan pengilang terbabit.


"Kami menerima aduan mengenai kilang-kilang yang tidak membeli (BTS) dan ini tak sepatutnya berlaku kerana buah sawit tidak boleh bertahan lama selain turut menyebabkan pendapatan pekebun kecil terkesan.


"Sepatutnya kilang-kilang ini lebih bertanggungjawab dan turun naik harga itu adalah risiko perniagaan. Oleh itu, MPOB akan memanggil pengilang terbabit," katanya selepas majlis pelancaran teknologi baharu di Seminar dan Pameran Pemindahan Teknologi (TOT) 2022 yang merupakan acara tahunan anjuran MPOB di sini, hari ini.


Harga minyak sawit mentah (MSM) mencatat penurunan bulanan terbesar dalam tempoh lebih 13 tahun pada Jun apabila merosot 22 peratus kepada RM4,922 (US$1,117.42) daripada RM6,632 (US$1,506.25).


Sementara itu, Ketua Pengarah MPOB Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata perbuatan menghentikan operasi itu dikesan melibatkan pengilang minyak sawit persendirian di Semenanjung, terutama di bahagian utara dan selatan. 


Menurutnya, pengilang terbabit juga berdepan tindakan undang-undang sekiranya masih meneruskan tindakan tersebut.


Pada masa sama, MPOB akan menghubungi pengeluar minyak sawit bersepadu untuk membeli BTS bagi membantu mengurangkan impak ke atas pekebun-pekebun sawit.


"Kita berharap dapat selesaikan masalah ini dalam masa seminggu kerana hanya mendapat maklumat mengenainya semalam.


“Selain itu, kita juga akan merangka tindakan (sesuai) dan jika perlu akan mengeluarkan kenyataan kepada semua pengilang untuk langkah sewajarnya,” katanya.


Sementara itu pada majlis hari ini, MPOB melancarkan teknologi-teknologi baharu termasuk formulasi pelet makanan berasaskan sawit untuk lembu pedaging dan teknologi formulasi serta proses pembuatan biskut yang diperkaya dengan minyak sawit merah. 


Selain itu, sebanyak tiga perkhidmatan baharu turut diperkenalkan iaitu Sawit Secure 2.0 Pengurusan Digital Perosak dan Penyakit Sawit, Penilaian dan Pengurusan Kesesuaian Tanah untuk Ladang Sawit dan Penentuan Jumlah Klorida dalam Minyak Sawit Mentah dan Minyak Sekunder.


-- BERNAMA 

Next Post Previous Post