Kempen anti sorok tunjuk impak positif di Kapit

Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP cawangan Kapit menjalankan pemeriksaan harga barangan baru-baru ini. Gambar kredit KPDNHEP Kapit

KAPIT—Kempen Anti Sorok yang dilaksanakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bermula awal tahun ini menunjukkan kesan positif di Kapit apabila tiada sebarang aduan mengenai kegiatan menyorok barangan kawalan diterima setakat ini.


Ketua Cawangan KPDNHEP Kapit Englebert Inggath Desmond Japar berkata sepanjang tempoh itu sebanyak 2,210 premis diperiksa.


“Pemeriksaan akan dijalankan di setiap peringkat setiap hari melibatkan 11 pegawai dan anggota penguat kuasa KPDNHEP Cawangan Kapit,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurutnya tindakan tegas akan diambil mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 ke atas pembekal, pemborong dan peruncit sekiranya didapati terlibat atau bersubahat dalam aktiviti menyorok barang kawalan.


Sehubungan itu, beliau menyarankan masyarakat menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa untuk melaporkan maklumat berkaitan penyelewengan dan menyorok barang kawalan atau bersubsidi antaranya melalui portal e-aduan@kpdnhep.gov.my, pusat panggilan 1800 886 800; e-mel e-aduan@kpdnhep.gov.my atau WhatsApp ke 019- 279 4317.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post