Notification

×

Iklan

Iklan

Pemansuhan subsidi minyak langkah pastikan lebih banyak bantuan bersasar, pakar

| Jun 25, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-06-24T23:58:59Z

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Alexander Nanta Linggi membuat pemeriksaan di Pasar Raya NSK bagi memastikan aspek pematuhan operasi premis. Gambar kredit FB


KUALA LUMPUR—Pemansuhan subsidi minyak masak sawit kemasan botol 2 kilogram (kg), 3kg dan 5kg yang diputuskan kerajaan dilihat sebagai langkah untuk memastikan lebih banyak bantuan secara terus dan bersasar dapat diberikan kepada golongan yang layak menerimanya.   


Penganalisis Ekonomi Bank Islam Malaysia Dr Afzanizam Abdul Rashid berkata keputusan kerajaan itu, termasuklah keputusan mengekalkan subsidi minyak masak sawit dalam bungkusan plastik, dapat memberi manfaat kepada golongan rentan seperti B40 dalam memperoleh barangan keperluan bersubsidi yang disediakan kerajaan.  


 “Kerajaan dalam masa sama turut mengumumkan dana tambahan RM630 juta kepada penerima Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang akan memanfaatkan seramai 8.6 juta rakyat di negara ini, jadi, bantuan ini mampu mengurangkan sebahagian beban dalam membeli barangan keperluan bulanan,” katanya ketika dihubungi Bernama. 


Namun, katanya, penerima bantuan itu perlu bijak dalam merancang perbelanjaan wang tersebut agar mereka memperoleh manfaat daripada objektif pemberian itu. 


Penganalisis Ekonomi Putra Business School (UPM) Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata keputusan kerajaan memansuhkan subsidi minyak masak kemasan botol antara lain adalah langkah untuk menghapuskan penyelewengan dan penyeludupan minyak masak tersebut.


“Kerajaan hapuskan subsidi itu kerana minyak masak botol itu mudah untuk orang menyeludup dan diseleweng kepada pihak tertentu kerana kuantitinya besar dan kemasannya yang tahan lasak berbanding minyak sawit plastik kuantiti yang kecil dan mudah pecah,” katanya.


Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan harus peka mengenai jaminan bekalan minyak masak plastik  sebanyak 60,000 tan metrik sebulan dan dapat dijual oleh peniaga kepada pengguna.


“Pengguna harus memainkan peranan dalam melaporkan kepada pihak berwajib jika terdapat kedai yang sentiasa tiada stok minyak masak manakala peniaga perlu berintegriti dalam menjual produk tersebut kepada golongan B40,” katanya. 


Ditanya mengenai mekanisme yang berkesan untuk menyalurkan bantuan tersebut, Ahmed Razman menyarankan agar bantuan berkenaan disalurkan dalam bentuk e-baucar seiiring era modenisasi dan  transaksi yang dilakukan lebih telus.


“Apabila kita nak pastikan bantuan dan subsidi tersebut sampai kepada rakyat, penggunaan teknologi sedia ada boleh membantu. Sebagai contoh, kita ada aplikasi MySejahtera dan dahulu kerajaan telah memperkenalkan baucar buku 1Malaysia yakni baucar itu boleh beli buku sahaja.


“Jadi mungkin kita boleh gabungkan mekanisme ini untuk mengesan dan memberi bantuan dengan lebih bersasar dan apabila mereka pergi ke kedai mereka boleh beli minyak sawit dalam peket atau barang keperluan yang lain,” katanya. 


-- BERNAMA

×
Berita Terbaru Update