Mayat dua kanak-kanak lemas ditemukan

PILU: Mayat kedua-dua mangsa ditemukan oleh penduduk kampung di Sungai Rajang pagi tadi. Gambar Kredit Bomba Sarawak

KAPIT--Kegembiraan sambutan Gawai Dayak bertukar tragedi apabila mayat dua kanak-kanak dilaporkan lemas di Sungai Rajang berhampiran Rumah Ekaw, Nanga Semawang di sini ditemukan pagi tadi.


Mayat kanak-kanak perempuan dikenali sebagai Chelsea Charity Darrie Ricky, 10 dan kanak-kanak lelaki, Damien Dashlley Sedan Donny, 9 , kedua-duanya ditemukan orang awam.


Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba berkata, kanak-kanak lelaki telah ditemukan tidak jauh dari SK Nanga Embuau pada jam 7.15 pagi. 



"Sementara kanak-kanak perempuan ditemukan di sekitar kawasan jagaan Balai Bomba Pusat (BBP) Song," katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurut PGO, anggota dari BBP Song telah bergerak ke lokasi pada jam 7.55 pagi bagi mengesahkan maklumat.


Katanya, pada jam 9.56 pagi, Komander Operasi mengesahkan penemuan kedua-dua mayat  di sekitar Sungai Batang Rajang dengan kanak-kanak lelaki ditemukan 20 kilometer (km) dari Rh Ekaw dan oleh ahli keluarga mangsa sendiri. 


"Kanak-kanak perempuan ditemukan pada anggaran 20 km dari Rh Ekaw iaitu berdekatan dengan SK Nanga Embuau. 


"Kedua-dua jasad kanak-kanak itu telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. 


"Jasad kanak-kanak lelaki diserahkan kepada Polis Kapit dan kanak-kanak perempuan diserahkan kepada Polis Song," katanya.

Next Post Previous Post