Mayat bayi perempuan ditemukan terapung

Mayat bayi perempuan yang masih bertali pusat ditemukan di dalam sebuah beg yang terapung berhampiran jeti di Tanjung Baru, Logpond semalam.

TAWAU—Mayat bayi perempuan yang cukup sifat diletakkan di dalam beg ditemukan terapung di Tanjung Baru Logpond, di sini, petang semalam.


Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu daripada orang awam jam 4.43 petang.


Menurutnya, bertindak atas maklumat pihak polis ke lokasi kejadian.



"Siasatan awal seorang saksi berjalan dengan tunangnya terlihat satu beg berwarna merah jambu terapung berhampiran jeti.


"Mereka membuka beg berkenaan dan mendapati seorang bayi yang masih bertali pusat dalam keadaan tidak sedarkan diri dipercayai telah meninggal dunia," katanya menerusi kenyataan hari ini.


Katanya, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM) turut berada di tempat kejadian telah membawa mayat bayi itu ke Hospital Tawau untuk tindakan selanjutnya.


"Hasil pemeriksaan awal doktor yang bertugas telah mengesahkan mayat perempuan itu seberat 1004 gram dan panjang lebih kurang 36 sentimeter.


"Turut dijumpai dalam beg itu seketul batu seberat 1,249 gram serta lebar 12 sentimeter dan tinggi tujuh sentimeter dibalut bersama bayi menggunakan sehelai kain batik dipercayai bagi menenggelamkannya ke dasar laut," ujarnya.


Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan.


"Sehubungan itu, kita menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes ini bagi mengelak kekeliruan dan menganggu siasatan pihak polis," tegasnya

Next Post Previous Post