Maut dilanggar lori ketika tukar tayar pancit

Gambar hiasan

SHAH ALAM—Dua lelaki maut termasuk seorang penyelia Kementerian Kesihatan yang bertugas di Seremban, Negeri Sembilan selepas dilanggar sebuah lori dalam kemalangan di Kilometer 11.5 Jalan Kuala Selangor-Kuala Lumpur sekitar 4 petang semalam.


Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Supt Ramli Kasa berkata siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu lori yang menghala ke Kuala Lumpur itu melihat orang ramai termasuk dua mangsa tersebut berada di bahu jalan kerana terdapat sebuah kereta pancit.


“Susulan itu pemandu lori berkenaan telah cuba mengelak daripada melanggar mereka dengan melorongkan lorinya ke lorong kanan jalan namun dalam keadaan titik buta, dia tidak menyedari sebuah kereta Mercedez datang dari arah belakang.


“Seterusnya pemandu lori itu cuba untuk mengelak kereta tersebut lalu melanggar kedua-dua mangsa yang berada di bahu jalan itu. Akibat daripada perlanggaran itu, mangsa yang berusia 55 dan 40 tahun berkenaan mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Ramli berkata kedua-dua mangsa telah dibawa ke Hospital Tanjung Karang untuk bedah siasat dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.  


-- BERNAMA

Next Post Previous Post