-->

Notification

×

Iklan

Iklan

KPDNHEP tumpas sindiket seleweng diesel bersubsidi

| Jun 09, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-06-08T16:02:11Z
Pegawai KPDNHEP memeriksa tangki untuk menyimpan diesel bersubsidi. Gambar kredit KPDNHEP Selangor

KLANG—Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor menumpaskan aktiviti penyelewengan diesel bersubsidi sebanyak 55,200 liter di sebuah stor di Jalan Johan Setia di sini, hari ini.


Pengarah KPDNHEP Selangor Mohd Khairi Jamaludin berkata hasil serbuan tujuh pegawai kementerian itu mendapati lapan tangki gelongsor, empat lori dan empat badan tangki lori ditemukan di premis itu kira-kira pukul 8 pagi.



“Hasil pemeriksaan dan pemantauan menunjukkan terdapat aktiviti pembelian diesel daripada stesen minyak oleh kenderaan bermotor jenis lori dan disyaki berlaku aktiviti penghantaran dan penyimpanan di lokasi sasaran serbuan.


Hasil serbuan, tiga lelaki tempatan berusia antara 25 dan 41 tahun ditahan semasa serbuan. Rakaman percakapan untuk keperluan siasatan diambil dan (mereka) telah dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya pada sidang media di sini hari ini.


Katanya selain diesel, lori dan tangki, KPDNHEP turut menyita peralatan yang digunakan bagi kerja-kerja pemindahan diesel dengan nilai keseluruhan kira-kira RM605,000.



Mohd Khairi berkata premis yang diserbu juga didapati tidak mempunyai lesen sah atau apa-apa dokumen kebenaran dari pengawal bekalan untuk menjalankan urusan barang kawalan bersubsidi diesel.


“Siasatan dijalankan mengikut Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 antaranya Seksyen 21 dan 20(1), yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan,” katanya.


Beliau menegaskan KPDNHEP tidak akan berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang untuk membanteras sindiket penyelewengan barang kawalan dan subsidi demi kepentingan pengguna.


-- BERNAMA

×
Berita Terbaru Update