Kekurangan ubat-ubatan bukan disebabkan pembelian panik


ALOR SETAR—Isu kekurangan bekalan ubat-ubatan yang berlaku terutama di farmasi dan fasiliti kesihatan swasta tertentu ketika ini bukan disebabkan pembelian panik oleh orang ramai, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.


Sebaliknya, beliau menjelaskan ia ekoran permintaan tinggi ubat-ubatan tertentu susulan penularan COVID-19 varian Omicron sebelum ini dan peningkatan kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) pada waktu ini.


Bagaimanapun, Khairy berkata keadaan itu tidak berlaku di seluruh negara sebaliknya hanya membabitkan beberapa lokasi dan ubat-ubatan tertentu dan beliau memberi jaminan bekalan ubat-ubatan di negara ini secara keseluruhannya mencukupi.


"Sebab banyak ubat-ubatan yang dikatakan kurang ini, bukan tak ada, tapi dikatakan kurang ini adalah ubat untuk penyakit biasa macam selesema, demam, sakit kepala dan sebagainya. 


"Jadi mungkin itu ada kaitan dengan hari itu ramai yang dijangkiti COVID-19 dan juga selepas ini HFMD, jadi mungkin dari segi pembelian itu… permintaan itu meningkat disebabkan fenomena tersebut," katanya pada sidang media di sini hari ini.


Khairy berkata Kementerian Kesihatan (KKM) sedang melakukan semakan dengan pengeluar dan pengimport ubat-ubatan bagi mendapatkan maklumat terperinci mengenai bekalan selain mendapatkan maklum balas daripada Persatuan Perubatan Malaysia serta klinik-klinik swasta.


"Kita akan bekerjasama dengan pengeluar-pengeluar syarikat-syarikat farmasi sama ada untuk bagi ubat alternatif ataupun kalau sekiranya perlu, kita import ubat dari negara lain.


"Tapi buat masa ini, kita ada dapat beberapa aduan setiap hari dan kita akan cuba bantu mereka untuk dapat stok ubat-ubatan ini. Di fasiliti kerajaan tidak ada masalah… yang ada kekurangan di fasiliti kesihatan dan klinik swasta," katanya.


Terdahulu beliau menghadiri majlis penyerahan sumbangan peralatan perubatan daripada kerajaan Jepun melalui Bantuan Geran Jepun kepada KKM yang turut dihadiri Duta Besar Jepun ke Malaysia Takahashi Katsuhiko.


Mengenai sumbangan itu, Khairy berkata peralatan perubatan keseluruhan bernilai RM19.3 juta tersebut akan diagih kepada semua hospital kerajaan di seluruh negara bagi meningkatkan perkhidmatan fasiliti berkenaan.


"Jadi banyak hospital bukan hanya hospital di kawasan bandar yang akan terima sumbangan ini tetapi juga luar bandar, sebagai contoh Hospital Kuala Lipis, Hospital Kuala Krai, Hospital Orang Asli Gombak dan Hospital Jempol," katanya.


Kerajaan Jepun pada Disember 2020 menawarkan untuk membantu Malaysia dalam memerangi pandemik COVID-19 dalam bentuk Bantuan Geran Jepun bagi membekalkan peralatan perubatan kritikal yang diperlukan untuk melengkapkan perkhidmatan bagi merawat pesakit COVID-19.


Sehingga kini, 174 daripada 248 unit peralatan itu telah diagihkan kepada hospital KKM seluruh negara dan peralatan itu yang antaranya pam picagari, penganalisis gas darah (respiratori), pengimbas ultrabunyi mudah alih dan defibrilator akan terus digunakan untuk merawat pesakit bukan COVID-19 apabila wabak itu diisytiharkan berakhir nanti.


-- BERNAMA

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.