Notification

×

Iklan

Iklan

Isu bekalan ayam selesai dalam sebulan

| Jun 04, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-06-04T09:50:10Z
Gambar hiasan kredit unsplash

SERDANG—Isu bekalan ayam dijangka selesai dalam tempoh sebulan, kata Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veteriner (DVS) Datuk Dr Norlizan Mohd Noor, yang juga menjangkakan bekalan ayam mencukupi sempena sambutan Aidiladha bulan hadapan.


Beliau berkata ia susulan intervensi dan sesi libat urus rentas agensi yang turut melibatkan pemain industri bagi mengetahui permasalahan utama berkaitan bekalan ayam.


“Kita dapat komitmen iaitu mereka komited untuk tingkatkan pengeluaran. Kita dalam proses pemulihan,” katanya kepada pemberita selepas sambutan Hari Veterinar Sedunia peringkat kebangsaan 2022 di sini, hari ini.


Beliau berkata terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan bekalan ayam berkurangan dalam negara dalam tempoh dua minggu lepas, antaranya faktor perubahan cuaca, penyakit sampar ayam atau ‘Newcastle Disease’ (ND) serta proses vaksinasi ayam yang tidak mengikut jadual sepatutnya.


“Kekurangan pekerja dan penggunaan sistem reban ayam terbuka juga antara faktor penyumbang kepada kekurangan bekalan ayam,” katanya.


 Menurut Norlizan, hampir 80 peratus penternak ayam dalam negara menggunakan sistem reban ayam terbuka, yang antara lain terdedah kepada pencemaran bau dan lalat, dan hanya segelintir menggunakan sistem reban ayam tertutup dengan penggunaan teknologi optimum.


Bagi perolehan sumber import ayam, Norlizan berkata DVS dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah bergerak ke beberapa negara, bagi tujuan pengauditan rumah sembelih.


“Jika mereka memenuhi syarat yang ditetapkan, negara akan mendapat sumber ayam yang lebih banyak pada harga kompetitif bagi keperluan pengguna,” katanya.


Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Datuk Haslina Abdul Hamid turut mengesahkan, isu bekalan ayam kurang di beberapa lokaliti yang dilaporkan sebelum ini, beransur pulih.


“Perkara ini (bekalan ayam) adalah sementara. Kerajaan mencuba sedaya upaya bagi memastikan bekalan ayam tiada kekurangan bekalan,” katanya.


Terdahulu, Haslina ketika berucap pada majlis perasmian sambutan itu berkata MAFI menerusi DVS, menyusun pelbagai strategi bagi menjaga kebajikan haiwan termasuk dalam membendung penyakit yang menyerang ternakan dan memastikan bekalan makanan daripada hasilan haiwan sentiasa mencukupi.


Kerajaan juga, katanya bersetuju mewujudkan Lembaga Ruminan Negara yang berperanan memastikan industri ruminan sentiasa berdaya saing, dan dapat menampung permintaan bekalan daging, susu, dan produk tenusu dalam negara.


-- BERNAMA

×
Berita Terbaru Update