Influencer Eira Aziera diarah bayar ganti rugi RM100,000
Influencer Eira Aziera diarah bayar ganti rugi RM100,000 |
Johor Bahru— Pempengaruh, media sosial Noorazira Pissal atau lebih dikenali sebagai Eira Aziera diarahkan oleh Mahkamah Tinggi membayar ganti rugi RM100,000 dan kos guaman RM30,000 kepada Suharnizan Md Sidek yang menjadi mangsa 'body shaming' (penghinaan bentuk fizikal) dua tahun lalu.
Memetik Harian Metro, Peguam Suharnizan, Mohd Rasheeh Hassan berkata, Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Seri Shamsulbahri Ibrahim membuat keputusan berkenaan dalam saman Suharnizan terhadap Eira Aziera secara dalam talian pada 30 Mei lalu, selepas perbicaraan penuh selama lima hari dari 24 hingga 28 Oktober 2021.
Menurut Mohd Rasheeh, mahkamah memutuskan bahawa Suharnizan menerusi peguamnya berjaya membuktikan tuntutannya dan selepas kesemua elemen yang berkaitan dipenuhi.
"Mahkamah juga memerintahkan Noorazira untuk menyiarkan permohonan maaf yang jelas tanpa syarat dalam semua akaun media sosial miliknya dan hendaklah dikekalkan selama enam bulan dari tarikh penyiaran,”katanya dalam laporan itu.
Mohd Rasheed berharap kes itu akan menjadi pengajaran kepada semua pihak supaya tidak mengeluarkan kenyataan sesuka hati dalam media sosial.
Pada 13 Oktober 2020 Suharnizan memfailkan saman menuntut lebih RM2 juta terhadap Eira Aziera, 39, di Mahkamah Tinggi Johor Bahru yang didakwa menghina bentuk fizikalnya atau 'body shaming'.