Dua warga emas maut, motosikal dan pikap berlanggar di Tebedu

Mangsa yang mengalami cedera parah disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Serian.


SERIAN— Dua warga emas disahkan terbunuh apabila sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) dan motosikal berlanggar di Jalan Tebedu berhampiran Kampung Pichin, dekat sini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintenden Bingkok John berkata, penunggang motosikal malang itu dikenali sebagai Mat Lumpeng, 62, berasal dari Kampung Pichin, Serian. 

Jelasnya, mangsa yang menunggang motosikal mengalami cedera parah akibat terlibat kemalangan dengan sebuah 4WD yang dipandu seorang pesara guru berusia 63 tahun yang berlaku di Kilometer 14 Jalan Tebedu. 

"Kemalangan dilaporkan berlaku sekitar jam 10.30 pagi menyebabkan pemandu 4WD tercampak keluar dari kenderaan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan paramedik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Kata Bingkok, pesara itu dikenali sebagai Bernard Lohin, 63, berasal dari Kampung Tebedu Mawang.

"Mangsa yang sedang memandu bergerak lurus dari arah Serian menuju ke Tebedu dikatakan tidak sempat mengelak sebuah motosikal yang dipercayai keluar dari satu simpang secara tiba-tiba. 

"Akibat itu, pemandu 4WD telah melanggar dan mengheret motosikal tersebut sebelum bergesel dengan sebuah van lalu terbalik," dedahnya. 

Menurutnya lagi, pemandu 4WD itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas diperiksa anggota paramedik. 

Sementara penunggang motosikal katanya disahkan meninggal dunia semasa dirawat di Hospital Serian.

Tegasnya, kedua-dua mayat mangsa telah dihantar ke Unit Perubatan Forensik Hospital Daerah Serian untuk tindakan lanjut.

Tambahnya, pemandu van dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Beliau memberitahu, kes masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak dalam kenyataan berkata, seorang lelaki warga emas maut selepas tercampak keluar dari kenderaan 4WD yang dipandunya setelah terlibat kemalangan di Jalan Tebedu berdekatan Kampung Pichin di sini pagi tadi. 

Jelasnya, bomba menerima panggilan berhubung kejadian itu sekitar jam 10.52 pagi dan mengerahkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian ke lokasi. 

"Pasukan bomba yang tiba membantu mengangkat mangsa yang meninggal dan seterusnya menyerahkan mangsa kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

"Pasukan turut melakukan kerja-kerja pembersihan permukaan jalan raya akibat kemalangan tersebut," ujarnya. 
Next Post Previous Post