Cubaan lari macam filem aksi, polis berjaya tahan suspek langgar lari

Suspek langgar lari di Jalan Muhibbah, Kampung Pemindahan Marudi berjaya ditahan ketika percubaan melarikan diri menuju ke Miri. Gambar kredit Polis Marudi

MARUDI—Pengguna jalan raya di sekitar Jalan Miri-Bintulu berdekatan Lambir digemparkan dengan kejadian seperti dalam filem aksi apabila seorang lelaki cuba melarikan diri daripada polis, malam tadi.


Lelaki berkenaan telah melarikan diri dari Jalan Muhibah, Kampung Pemindahan Marudi sehingga ke Jalan Miri-Bintulu berdekatan Lambir sebelum berjaya diberkas polis.


Menurut Facebook Ibu Pejabat Polis Daerah Marudi, lelaki itu ditahan polis susulan disyaki melarikan diri setelah terlibat dalam kes kemalangan langgar lari di Jalan Muhibah, Kampung Pemindahan, dekat sini.


Kemalangan dilaporkan berlaku melibatkan kenderaan utiliti sukan (SUV) milik suspek iaitu Toyota Fortuner telah merempuh sebuah motosikal di lokasi kejadian sebelum bertindak melarikan diri.


Kenderaan suspek yang terlibat dalam kemalangan


Menurut kenyataan IPD Marudi, Toyota Fortuner tersebut telah melarikan diri dari lokasi kejadian menghala ke Miri.


"Bertindak atas maklumat, polis kemudian memburu kenderaan suspek dan berjaya menahannya di Jalan Marudi-Miri.


"Sementara itu, suspek berjaya ditangkap dengan bantuan Unit Kereta Peronda Polis (MPV) 440 Miri di Jalan Miri-Bintulu berdekatan Lambir.


"Suspek dan kenderaannya kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marudi untuk tindakan lanjut," kata kenyataan itu.

Next Post Previous Post