-->

Notification

×

Iklan

Iklan

Beban kerja, tekanan, punca pekerja ambil dadah?

| Jun 08, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-06-08T01:54:18Z
Stres atau tekanan akibat bebanan kerja mendorong segelintir pekerja mengambil dadah terutamanya jenis stimulan. Gambar hiasan kredit Elisa Ventur Unsplash


KUALA LUMPUR— Kes 1 : Seorang pekerja kesihatan yang berjaya, aktif bersukan di peringkat jabatan dan disenangi ramai. Namun, akibat dadah, beliau dibuang kerja, berpisah dengan isteri dan mengalami penyakit murung akibat penggunaan dadah yang berpanjangan.


Kes 2: Seorang usahawan berjaya yang mempunyai bengkel mengecat kereta, ramai pekerja dan mempunyai keluarga bahagia tetapi akhirnya turut ditinggalkan isteri dan anak-anak kerana ketagihan pil kuda sehingga bengkelnya terpaksa ditutup kerana dia tidak mampu menguruskan perniagaan.


Kes 3: Pemandu kenderaan awam yang lesen memandunya ditarik balik kerana sering kali terbabit dalam kemalangan akibat memandu di bawah pengaruh dadah dan urin positif dadah.


Tiga kes ini adalah antara contoh pekerja yang terjebak dengan penagihan najis dadah yang dikongsi oleh Pengarah Pusat Pengajian Sains Ketagihan Universiti Malaya (UMCAS), Prof Madya Dr Rusdi Abd Rashid dengan Bernama baru-baru ini ketika diminta mengulas tentang isu penyalahgunaan dadah dalam kalangan pekerja di negara ini.


Menurut beliau, ada juga yang dibuang keluarga kerana sering ‘keluar masuk’ pusat pemulihan dan menghadapi kesukaran untuk mendapat kerja disebabkan status bekas penagih dan penjenayah.


“Dia akhirnya kembali mengambil dadah kerana putus harapan dengan hidup kerana tiada tempat bergantung,” katanya.

 

 

PUNCA PENAGIHAN DADAH

 

Stres atau tekanan akibat bebanan kerja mendorong segelintir pekerja mengambil dadah terutamanya jenis stimulan atau perangsang seperti methamphetamine (termasuk pil kuda), ekstasi dan ketum. 


Terdapat juga pekerja yang mengambil dadah atas alasan perlu kekal bertenaga untuk bekerja atas panggilan on call atau bekerja lebih masa di samping ingin meningkatkan prestasi mereka. 


Dr Rusdi ketika mendedahkan perkara ini berkata, mereka yang mengambil dadah stimulan biasanya menjadi lebih bertenaga, banyak bercakap, terlebih aktif dan boleh berjaga malam selama berhari-hari.


“Di samping itu, tekanan hidup akibat masalah kewangan dan masalah rumah tangga juga boleh membawa kepada penyalahgunaan dadah sekali gus menjurus kepada penyakit kemurungan dan bunuh diri.


“Terdapat mereka yang menggunakan dadah untuk menurunkan berat badan terutamanya golongan wanita bekerjaya sebagai contoh dalam kalangan eksekutif muda yang mahu kelihatan menarik dan sentiasa cergas,” katanya. 


Mengulas lanjut Dr Rusdi yang juga pakar psikiatri di Pusat Pakar Perubatan Universiti Malaya (UMSC) berkata, sektor dan corak pekerjaan seseorang individu boleh mempengaruhi kecenderungan untuk mengambil dadah.


Menyenaraikan sektor perladangan, kesihatan, hiburan dan pengangkutan antara yang lebih terdedah kepada penyalahgunaan dadah di tempat kerja, beliau berkata, sebagai contoh, pekerja buruh kasar yang memerlukan banyak tenaga dan pemandu jarak jauh yang perlu menambah bilangan ‘trip’ cenderung untuk menggunakan dadah methamphetamine khususnya pil kuda. 


Keadaan berkenaan berbeza dengan pekerja atau petugas kesihatan kerana golongan ini cenderung menggunakan dadah jenis opiat kerana mudah diperolehi (easy access) daripada stok ubat terkawal di fasiliti kesihatan.


“Umumnya, dadah jenis stimulan paling kerap digunakan di tempat kerja. Dadah jenis opiat seperti morfin, pethidine dan tramadol lebih menjurus kepada sektor kesihatan, manakala dadah benzodiazepine pula lebih cenderung digunakan bagi mengatasi kesan sampingan dadah stimulan, untuk memastikan penggunanya dapat tidur pada waktu malam.



“Bagi pengambilan alkohol dan arak pula ia sering berlaku dalam sektor hiburan di kelab malam terutamanya dalam kalangan pekerja dan pengunjungnya,” katanya, menambah golongan pelajar tidak terkecuali dan ada yang mengambil methamphetamine bagi tujuan berjaga lewat malam sebelum menghadapi peperiksaan.

 

 

JEJAS DIRI, EKOSISTEM

 

Penyalahgunaan dadah dalam kalangan pekerja boleh memberi kesan jangka masa pendek dan panjang yang melibatkan kesihatan diri, kerja, orang lain dan seterusnya seluruh ekosistem.


Kesan jangka pendek lazimnya ialah mabuk kerana terlebih dos dadah. Mereka yang menggunakan dadah stimulan biasanya mempunyai gejala seperti hiperaktif, agresif, mudah marah iaitu emosi menjadi tidak stabil, merasa tidak perlu tidur malam, tidak berasa lapar dan sentiasa bertenaga. 


Menurut Dr Rusdi, kesan ‘overdose’ boleh menyebabkan tekanan darah meningkat, dehidrasi, serangan jantung, sawan dan angin ahmar atau stroke.


Adakalanya, mereka juga berisiko menunjukkan gejala psikosis yang boleh membahayakan diri dan orang sekeliling. 


“Apabila putus bekalan (dadah), mereka akan mengalami gejala keletihan melampau, selera makan bertambah dan makan dengan banyak, rasa mengantuk yang amat sangat mengakibatkan mereka akan tidur sepanjang hari dan berasa murung.  


“Mereka yang mengambil dadah jenis opiat secara berlebihan boleh mengalami euphoria (rasa gembira yang terlampau di luar keadaan normal), sesak nafas dan rasa mengantuk yang amat sangat sehingga menyebabkan sukar bernafas dan boleh membawa kematian,” katanya.


Bagi kesan jangka masa panjang pula, dadah stimulan boleh menyebabkan ketagihan, gejala yang menyerupai penyakit mental seperti penyakit skizofrenia, bipolar dan kemurungan. 


Menurut Dr Rusdi, pengambilan dadah dalam jangka masa panjang dan kebergantungan melampau menjejaskan prestasi kerja dan produktiviti menurun kerana ponteng kerja ‘absentism’, akhirnya boleh dibuang kerja.


“Apabila ketagihan membelenggu, mereka akan hilang kawalan terhadap penggunaan dadah dengan terus menerus menggunakan bahan tersebut walaupun menyedari kesan negatifnya dalam kehidupan dari segi fungsi kerja, sosial serta kesihatan mental dan fizikal.


“Selain murung, mereka juga menjadi paranoia kepada orang sekeliling dan mengalami gejala psikosis yang tidak terkawal seperti mendengar suara-suara halus, melihat benda-benda yang aneh dan pelik. Keadaan ini di panggil ‘stimulant induced psychosis’,” jelasnya.

 

 

BERSATU BANTERAS DADAH

 

Kerajaan membelanjakan lebih kurang RM500 juta setahun bagi menangani kes penagihan antaranya untuk menempatkan penagih di pusat serenti yang dikenali sebagai Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) di bawah naungan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).


Hampir 1000 klinik di Malaysia digunakan untuk tujuan merawat penagihan seluruh negara, iaitu terdiri daripada 500 klinik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan 500 klinik rawatan penagihan swasta.


Ketika berkongsi maklumat ini, Dr Rusdi berkata, bilangan penagih menghuni pusat serenti sekarang semakin berkurangan iaitu daripada 15,000 kepada hanya 2,500 orang semenjak kerajaan memperkenalkan kaedah rawatan pengurangan kemudaratan atau ‘harm reduction approach’ pada tahun 2005 di seluruh negara.


“Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memuji langkah Malaysia sebagai role model di Asia melalui laporan pengurangan kemudaratan dadah dan AIDS pada tahun 2013. Malangnya, pihak berwajib dilihat berbalik semula kepada pendekatan lama yang melihat penagih sebagai penjenayah dan bukan pesakit, yang hasilnya kurang berkesan,” katanya, mencadangkan agar kerajaan mengkaji semula pendekatan yang lebih sesuai dalam menangani isu dadah di negara ini.


Dr Rusdi turut berkongsi kajian bertajuk “Cure and Care 1Malaysia Clinic (C&C1m), Sungai Besi Kuala Lumpur: How Effective is Drug Treatment and Rehabilitation Programs for Outpatient Clients?” .

Menurut beliau, hasil kajian yang dijalankan pada 2017 itu menunjukkan, tahap keberkesanan program rawatan dan pemulihan dadah dalam kalangan pesakit adalah tinggi melalui kombinasi rawatan perubatan menggunakan ubat-ubatan dan secara sukarela berikutan kadar relaps terhadap penggunaan dadah terlarang adalah sangat rendah.


(Relaps merujuk kepada kembali kepada penggunaan dadah selepas percubaan untuk berhenti daripada penagihannya).


 “Pendidikan kesihatan mengenai bahaya dadah secara berterusan dan saringan air kencing secara berkala oleh pihak majikan boleh mencegah risiko penggunaan dadah di tempat kerja. Pupuk budaya kerja yang sihat seperti bekerja tidak melebihi lapan jam sehari, gaji minimum yang mencukupi bagi perbelanjaan mengikut zon terutamanya di Lembah Klang yang kos hidup semakin meningkat. 


“Majikan yang prihatin dan mengambil tahu masalah pekerja boleh membantu mencegah masalah penggunaan dadah di tempat kerja daripada berlaku,” katanya, menambah, pendekatan secara perubatan dalam merawat penagihan ditambah kaedah kaunseling dan psikospiritual lebih membantu penagih apabila mereka dirawat sama seperti pesakit kronik yang lain seperti di hospital dan klinik kesihatan.

 

 

DADAH REKREASI, PERUBATAN

 

Sementara itu, Presiden Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH), Dr Shawaludin Husin berkata, penyalahgunaan dadah dalam masyarakat termasuk golongan pekerja bukanlah isu baharu cuma kaedah pengambilan dan kesannya kini lebih bervariasi.


Menurut beliau, jika dahulu dadah diambil dengan kaedah sinonim seperti menyuntik jarum pada badan dan kesannya individu akan menjadi lemah dan khayal, namun kini kesannya mungkin berbeza apabila individu boleh menjadi lebih tenang dan relaks (tujuan santai) ataupun menjadi lebih kuat dan bertenaga (dadah stimulan) sehingga ada yang menormalisasikannya untuk tujuan kebaikan dan perubatan. 


“Mungkin ada betulnya... macam sekarang orang sedang berdebat mengenai kebaikan ganja (kanabis). Teorinya mungkin orang tak ketagih sebab untuk tujuan perubatan dan ia juga diambil mengikut keperluan dan secara santai...tetapi kita bimbang ada yang akan ambil kesempatan yang membawa kepada penyalahgunaan bahan itu lebih-lebih lagi tanpa kajian mendalam mengenai keberkesanannya.


“Kematangan, kefahaman dan penerimaan setiap individu berbeza. Contohnya vape, bila dibenarkan penggunaannya maka banyak perkara yang perlu dilihat. Dari aspek kreativiti rakyat untuk mengubahsuai, ‘menambah baik’ isi kandungan, perisa dan tujuan penggunaannya,” katanya yang juga seorang Doktor Kesihatan Pekerjaan. 


Beliau menambah, selain kerjaya dalam bidang sukan sebagai contoh atlet, mereka yang terlibat dalam bidang seni yang perlu menghasilkan idea kreatif malah golongan intelektual juga tidak terkecuali berisiko terjebak dengan penyalahgunaan dadah akibat tuntutan tugas.


Namun begitu, ada juga yang menggunakan dadah atas alasan tujuan rekreasi dan sosial untuk suka-suka, ‘ikut kawan’, bosan dan sunyi tinggal sendirian serta sebagai ubat tidur ‘anti-depression’ atau ‘anti-anxiety’.  


“Walau apa pun, bebanan kerja dan tekanan tidak boleh dijadikan alasan untuk mengambil dadah, ia tetap penyalahgunaan” jelasnya.

 

 

DADAH DAN AKKP 1994

 

Dr Shawaludin menambah, Kod Amalan Pencegahan dan Pembasmian Penyalahgunaan Dadah, Alkohol dan Bahan di Tempat Kerja oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Kementerian Sumber Manusia, melalui kerjasama dengan pelbagai agensi termasuk AADK, dapat membantu usaha membanteras penyalahgunaan bahan terlarang itu di tempat kerja. 


Setiap majikan perlu menjalankan program tempat kerja bebas dadah antaranya bagi mengatasi impak sosial yang melibatkan imigrasi pekerja ke kawasan atau industri ‘gelap’ (kawasan dadah) yang dikhuatiri boleh mempengaruhi mereka untuk terlibat dengan dadah ataupun pekerja yang asalnya dari kawasan ‘gelap’ dan datang ke sektor bebas dadah, dan dikhuatiri mempengaruhi masyarakat setempat. 


“Amat penting untuk majikan memastikan tempat kerja bebas dadah kerana jika ada pekerja yang terlibat, ia bukan sahaja membahayakan diri mereka sendiri dan rakan sekerja bahkan boleh mengundang risiko kepada operasi syarikat termasuk menyebabkan berlakunya kemalangan atau bencana seperti kebakaran di tempat kerja apabila mereka lalai dan cuai akibat berada di bawah pengaruh dadah. 


“Tempat kerja mesti ada polisi bebas dadah. Daripada polisi ini, majikan perlu menjalankan penilaian risiko dengan memastikan pekerja yang melapor diri ke tempat kerja tidak terlibat dengan dadah, sentiasa ‘bersih’ (bebas dadah) dan tidak terpengaruh dengan masyarakat setempa, ” katanya.


Menurut beliau, antara langkah kawalan yang biasa dibuat ialah ujian urin sewaktu pekerja mula-mula melapor diri, kemudian dibuat secara berkala dan apabila berlaku insiden dan kecuaian pekerja.


Ujian urin juga boleh dibuat secara rawak (random) ketika waktu bekerja selain pekerja yang diperhatikan ada tanda terlibat dengan dadah dipanggil untuk menjalankan ujian berkenaan.


Beliau menambah, syarikat yang menjalankan aktiviti sosial juga perlu memasukkan dalam polisi mereka melarang pekerja terlibat dengan penyalahgunaan dadah dan alkohol sebagai langkah kawalan. 


Menegaskan peranan majikan dalam mengesan pekerja yang terlibat dengan dadah dan bersedia untuk memberi ‘peluang kedua’ kepada mereka, beliau berkata rawatan pemulihan, ubat-ubatan dan sesi kaunseling antara yang boleh dijalankan bagi membantu pekerja membuang tabiat buruk mereka, kembali pulih dan dapat bertugas seperti sediakala. 


“Tindakan buang kerja bagi pekerja yang terlibat dengan dadah tidak akan menyelesaikan masalah kerana mereka tidak dibantu untuk tujuan rehabilitasi. Pekerja yang dibuang kerja akibat dadah akan menjadi lebih teruk menagih, menganggur, tiada sumber kewangan akan memberi impak lebih besar kepada mereka dan keluarga. 


“Mereka wajar diberi ‘peluang kedua’ sebagai contoh tempoh rehabilitasi selama enam bulan. Dalam tempoh itu mereka akan dipantau, diberi kauseling dengan harapan akan berubah dan pulih. Namun jika sepanjang tempoh rawatan pekerja gagal menunjukkan perubahan, kemungkinan untuk mereka dibuang kerja boleh berlaku,” katanya, menambah program bebas dadah di tempat kerja bukan sahaja membantu majikan mengawal risiko di premis mereka bahkan membantu kerajaan mengurangkan populasi masyarakat yang terlibat dengan dadah.


Di bawah Seksyen 24 Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) 1994, pekerja adalah bertanggungjawab untuk bekerja dengan selamat tanpa membahayakan dirinya dan orang lain semasa bekerja.


Pekerja juga hendaklah melaksanakan tanggungjawab ini dengan tidak menyalahgunakan dadah di tempat kerja untuk membantu majikan dalam melaksanakan tanggungjwabnya demi memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja-pekerjanya. 


Di samping itu, pekerja juga hendaklah memberikan kerjasama dan mengambil bahagian dalam program yang dianjurkan oleh majikan untuk mencegah penyalahgunaan dadah, alkohol dan bahan. 

 

-- BERNAMA

×
Berita Terbaru Update