-->

Notification

×

Iklan

Iklan

Badminton Terbuka Malaysia: Tang Jie-Valeree tampil aksi cemerlang singkir beregu ranking ke-16 dunia

| Jun 29, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-06-29T10:23:04Z
Gambar kredit BAM

KUALA LUMPUR-- Beregu campuran muda negara Chen Tang Jie-Valeree Siow mempamerkan aksi cemerlang untuk mencipta kejutan ke atas pasangan ranking ke-16 dunia Yuki Kaneko-Misaki Matsutomo pada pusingan pertama Terbuka Malaysia.


Jurang besar dari segi pengalaman dan ranking tidak menghalang beregu di kedudukan ke-209 dunia itu, mempamerkan aksi yang kental untuk menyingkirkan bekas juara dunia dan Olimpik Matsutomo serta pasangannya.


Tang Jie, 24, and Valeree, 22, yang baharu digandingkan pada hujung bulan lepas, menampilkan aksi yang mendapat pujian untuk mara ke pusingan kedua menerusi kemenangan 21-16, 14-21, 21-10 selepas pertarungan selama 54 minit dengan sokongan padu lebih kurang 5,000 penonton di Arena Axiata di sini hari ini.


Namun, cabaran lebih sengit menanti mereka esok apabila bakal melawan beregu nombor satu dunia dan juara dunia sebanyak dua kali, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong dari China.


“Kemenangan hari ini sudah pasti boleh bantu (untuk esok), tetapi mereka juga merupakan pemenang pingat perak Olimpik Tokyo 2020, jadi saya rasa kita kena kental untuk cabar mereka. 


Namun, kita akan tetap memberi cabaran kepada mereka, saya harap kita akan menampilkan satu persembahan yang baik esok.


“Menang satu perlawanan bukan bermaksud kita dah bagus, masih ada banyak perkara untuk belajar. Valeree pun masih muda, kita perlukan lebih banyak masa (untuk mampu mencabar pemain terbaik dunia),” kata Tang Jee kepada pemberita.


Valeree yang turut berdepan cabaran satu lagi beregu nombor satu dunia dari China, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan bersama-sama Low Yeen Yuan pada aksi pusingan kedua beregu wanita esok, berkata beliau tidak menganggap beraksi dalam dua acara sebagai memenatkan.


Beliau turut berjanji untuk menampilkan aksi terbaik pada esok, dengan tidak menolak kemungkinan untuk terus melakar kejutan di laman sendiri.


Sementara itu, nasib tidak menyelebahi dua lagi gandingan beregu campuran negara yang tersingkir seawal pusingan pertama menerusi keputusan sama 17-21, 18-21.


Pasangan muda Hoo Pang Ron-Toh Ee Wei tewas kepada Si Wei-Ya Qiong, yang juga merupakan pilihan kedua kejohanan, manakala pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016 Goh Liu Ying bersama Soong Joo Ven terpaksa akur kepada Jones Ralfy Jansen-Linda Efler dari Jerman.


“Kita beraksi dengan baik tetapi perlu perbaiki kombinasi kerana kadang-kadang kami berlaga raket untuk pukulan yang sama. 


Jika kami beraksi dalam lebih banyak perlawanan, keyakinan kami akan melonjak dan kemudian pengalaman dan sebagainya akan meningkat jadi strategi permainan kami semakin lancar.


Adalah satu penghormatan buat kami untuk berhadapan nombor satu dunia. Kami boleh melakukan dengan lebih baik dan kami berharap boleh mengalahkan mereka satu hari nanti,” kata Pang Ron.


-- BERNAMA

×
Berita Terbaru Update