20 dari 25 Seksyen Pan Borneo Fasa 1 siap tahun ini, Fadillah

Tinjauan ke Jejambat Lapangan Terbang Miri, Pakej 11 (WPC11) Sungai Tangap – Pujut Link Road. Gambar Lee Kim Shin


MIRI—Sebanyak 20 daripada 25 seksyen dalam Lebuhraya Pan Borneo fasa satu dijangka siap sepenuhnya tahun ini, kata Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.

Katanya baki lima seksyen lagi iaitu Bukit Begunan, Spaoh, Lambir, Tatau dan Sarikei dijangka siap pada April tahun depan.

Katanya lima seksyen tersebut kini menghadapi beberapa masalah antara lain melibatkan isu kekurangan tenaga kerja dan pengolahan semula reka bentuk.

Tinjauan ke WPC10 Bakun Junction – Sungai Tangap-‘Pit Stop’ di Kem Gelasah. Gambar Fadillah Yusof


“(Sebagai contoh) Di Bukit Begunan di Sri Aman sedikit mencabar kerana keadaan tanah tidak sesuai dengan reka betuk. Kita perlu meneliti semula reka bentuk kerana sebelum ini berlaku keruntuhan.

“Sasaran harap dapat diselesaikan menjelang April tahun depan (untuk lima seksyen) manakala majoriti (baki 20 seksyen) dapat disiapkan menjelang hujung tahun ini” katanya kepada pemberita yang menyertai program Jelajah FTRoadpedia Sarawak di di sini, hari ini.

Jelajah FTRoadpedia Sarawak anjuran Kementerian Kerja Raya yang bermula 9 Jun hingga hari kni itu bertujuan meninjau perkembangan semasa pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak dengan melintasi daerah Kuching, Bintulu, Sibu dan Miri.

Tinjauan ke WPC10 Bakun Junction – Sungai Tangap-‘Pit Stop’ di Kem Gelasah. Gambar Fadillah Yusof


Lebuhraya Pan Borneo Sarawak yang mula pembinaannya pada 2015 kini sudah siap sebanyak 85 peratus.

Fadillah baru-baru ini dilaporkan berkata kerajaan sedia membantu kontraktor projek Lebuhraya Pan Borneo yang berhadapan masalah kekurangan tenaga kerja serta kenaikan kos bahan pembinaan susulan penularan wabak pandemik COVID-19.

Jelasnya apabila pandemik COVID-19 melanda, ramai pekerja yang terlibat dengan projek tersebut telah pulang ke negara asal mereka dan situasi itu mengakibatkan kontraktor projek lebuhraya tersebut kini hanya mampu bekerja dengan kapasiti 70 peratus tenaga kerja berbanding waktu sebelum pandemik.

 -- BERNAMA
Next Post Previous Post