Warga emas antara 23 pemandu mabuk ditahan


KUALA LUMPUR—Polis menahan 23 individu termasuk seorang warga emas berumur 68 tahun kerana memandu di bawah pengaruh alkohol dalam operasi Samseng Jalanan, Op Motosikal/Pelbagai Kesalahan di sekitar ibu negara sejak Jumaat lepas. 


Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur ACP Sarifudin Mohd Salleh berkata selain 23 individu berkenaan, pihaknya turut menahan lapan individu kerana menunggang dalam keadaan merbahaya dengan melakukan aksi zig-zag, roket, superman serta bersaing sesama sendiri.  


“Kesemua suspek (lapan individu) berkenaan yang berusia dalam lingkungan 16 hingga 19 tahun telah dibawa ke Balai Polis Trafik, Kuala Lumpur dan akan dituduh di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga mengganggu pengguna jalan raya yang lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Sementara itu Sarifudin berkata tangkapan lain melibatkan seorang individu yang melakukan kesalahan menghalang tugas penjawat awam, seorang disyaki menunggang motosikal curi manakala seorang lagi dipercayai memiliki dadah. 

 

Beliau berkata dalam Operasi Motosikal dengan kolaborasi Jabatan Alam Sekitar semalam pula, pihaknya mengeluarkan sembilan saman kepada pemandu hasil ujian terhadap 20 kenderaan kerana tidak mematuhi spesifikasi struktur kenderaan (ekzos) yang ditetapkan.


Menurutnya secara keseluruhan 435 jumlah saman dikeluarkan kepada pengguna jalan raya atas pelbagai kesalahan trafik dan 13 motosikal disita atas kesalahan mengubah suai struktur kenderaan (ekzos) sepanjang tiga hari operasi Samseng Jalanan, Op Motosikal/Pelbagai Kesalahan itu.


Sarifudin berkata operasi bermula pada Jumaat dan selesai awal pagi tadi dijalankan di sekitar ibu kota termasuk Jalan Raja Laut, Jalan Genting Klang, Jalan Kuching, Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) dan Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 Kuala Lumpur (MRR2).


-- BERNAMA

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.