Wanita maut dipercayai dibunuh teman lelaki anak


SANDAKAN—Seorang suri rumah warga Indonesia berumur 59 tahun maut dipercayai dibunuh oleh teman lelaki anaknya sendiri di sini semalam.


Ketua Polis Daerah Sandakan ACP Abdul Fuad Abdul Malek berkata anak mangsa berumur 25 tahun itu juga cedera dalam kejadian tersebut.


"Kejadian berlaku kira-kira 5.50 petang di sebuah rumah di Apartmen Taman Sentosa iaitu berlaku pertengkaran, lalu suspek bertindak mengelar bahagian leher mangsa dengan senjata tajam.


"Mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala anak perempuannya cedera ringan di bahagian tangan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.


Abdul Fuad berkata suspek lelaki tempatan berumur 31 tahun ditahan selepas menyerah diri di Balai Polis Sandakan tidak lama kemudian.


Beliau berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Duchess of Kent di sini dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post