Usul penyertaan belia 18 tahun dibentang dalam persidangan PBB bulan depan

Nanta Linggi

KUCHING—Usul untuk meminda perlembagaan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bagi membolehkan belia berumur 18 hingga 28 tahun untuk menyertai parti itu akan dibentangkan dalam persidangan perwakilan parti  yang akan berlangsung 17 hingga 19 Jun ini.


Setiausaha Agung PBB Datuk Seri Alexander Nanta Linggi hari ini berkata usul itu turut mencadangkan para belia dalam kumpulan umur berkenaan untuk bertanding dan memegang jawatan dalam parti.


“Pindaan ini sejajar dengan pindaan Perlembagaan Persekutuan yang membolehkan warganegara berumur 18 tahun secara automatik didaftarkan sebagai pengundi,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi PBB di sini.


Mesyuarat berkenaan dipengerusikan oleh Presiden parti yang juga Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.


Menurut Nanta persidangan kali ini yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) dijangka dihadiri kira-kira 2,000 perwakilan akan turut melibatkan pemilihan bagi beberapa jawatan dalam parti berkenaan.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post