Tiada akses jalan raya, lima rumah panjang di DUN Balingian masih guna sungai


KUCHING: Kerajaan Sarawak digesa segera membina jalan penghubung desa dari jalan pesisir ke kawasan Pelata di bawah pentadbiran Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi berkata, ia susulan terdapat lima rumah panjang di kawasan Pelata masih belum mempunyai akses penghubung jalan sehingga menyukarkan penduduk di kawasan berkenaan.


“Antara lima rumah panjang yang terlibat adalah Rumah Panjang (Rh) Tundan, Rh Liai, Rh Mikai, Rh Ngelantar dan Rh Jamit,” katanya ketika membahaskan Usul Penghargaan Atas Ucapan Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pada persidangan DUN di sini, hari ini.


Menurut Abdul Yakub, ketika ini, kesemua penduduk di rumah panjang tersebut hanya menggunakan perahu untuk menyeberangi Batang Balingian untuk urusan seharian.


Malah katanya, keadaan ini dilihat lebih menyukarkan sekiranya berlaku kecemasan.


“Oleh itu, saya memohon agar projek menghubungkan jalan Benawa yang telah siap dibina sebelum ini diteruskan dengan pembinaan jalan ke rumah-rumah panjang yang terlibat,” katanya.


Dalam pada itu kata Abdul Yakub, Jalan Persekutuan Balingian ke Sungai Anak juga perlu diberi perhatian oleh agensi berkaitan. 


Katanya, pembinaan jalan ini bukan sahaja sebagai jalan alternatif Balingian ke Bintulu di samping menjadi jalan utama kepada penduduk di sepanjang laluan serta akses kepada jalan persisir pantai dan Jalan Pan Borneo.


“Justeru, jalan tersebut harus diselenggara dan diteruskan pembinaannya demi keperluan rakyat di kawasan tersebut,” katanya.


Dalam pada itu, kata Abdul Yakub, terdapat tiga Sekolah Kebangsaan (SK) di kawasan Balingian perlu diberi perhatian segera susulan keadaan sekolah tersebut kini dalam keadaan daif.


Katanya, ketiga-tiga sekolah tersebut turut berdepan pelbagai masalah terutama melibatkan faktor keselamatan kepada warga sekolah.


“Antara sekolah tersebut ialah SK Jebungan yang terdedah kepada risiko hakisan tebingan sungai malah penghujung tahun lepas, jeti sekolah itu telah tenggelam bersama arus sungai yang saban hari menghakis tebing.


“Sementara setiap kali musim tengkujuh, SK Kenyana menghadapi masalah banjir manakala maklumat yang diperoleh daripada Pejabat Pendidikan Mukah, dianggarkan 80 peratus kedaifan direkodkan di SK Kuala Balingian,” katanya.

Next Post Previous Post