Telinga bionik bawa harapan baharu kepada Dayang Irdina
Dr Matthew Kho (dua dari kiri) bersama Datuk Rosy Yunus (tengah) menyampaikan satu permainan yang diminati Dayang selepas sidang media di BMC Miri hari ini. |
Pada Disember 2021, Dayang telah didiagnosis hilang pendengaran pada kedua-dua belah telinganya.
Susulan itu Dayang telah dipasangkan dengan alat bantu pendengaran di belakang telinganya sejak tahun 2021.
Namun, disebabkan gangguan pendengaran yang semakin teruk, telah menyebabkan kanak-kanak terbabit yang berasal dari Kampung Sinong Bintulu itu mempunyai akses yang sangat terhad terhadap bunyi pertuturan dan tindak balas yang tidak konsisten sekalipun pada tahap yang nyaring.
Prihatin dengan situasi yang dihadapi Dayang, kerajaan Sarawak menerusi Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak bersama sebuah institusi perubatan swasta Borneo Medical Centre (BMC) Miri, tampil menyalurkan bantuan.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Rosey Yunus berkata, kos bagi pemasangan implan tersebut sebanyak RM110,000.
"Kerajaan Sarawak menerusi kementerian kita telah menyalurkan bantuan bagi membantu Dayang menjalani kehidupan normal dengan memasang implan koklea atau nama popularnya ‘telinga bionik’.
“Dalam pada itu, BMC Miri turut menyumbangkan wang tunai sebanyak RM30,000 untuk kos pembedahan Dayang,” kata Rosey semasa sidang media di BMC di sini hari ini. Turut hadir semasa sidang media pengerusi BMC Miri Dr Matthew Kho.
Pembedahan pemasangan implan Koklea itu akan dijadualkan bermula pada jam 7.30 pagi.
Ibu kepada Dayang Irdina, Yalizawati Maon, 35, berharap pemasangan koklea itu akan memberi sinar dan harapan baharu kepada anaknya.
Pembedahan itu akan dilakukan oleh pakar Profesor Dr Tang Ing Ping dan dibantu Dr Dorris Jong.
Dr Tang berkata, prosedur memasang implan pada kedua-dua belah telinga Dayang akan mengambil masa sekitar empat sehingga lima jam.
Menurut Dr Dorris Jong, sejak tahun 2014 seramai enam kanak-kanak di bahagian Utara Sarawak direkodkan mengalami masalah pendengaran.