Syak ada skandal, suami tumbuk isteri berkali-kali di Niah

Suspek (tengah) ditahan kerana disyaki menumbuk isterinya dalam kejadian di sebuah rumah panjang di Saeh, Niah.

MIRI— Seorang lelaki yang dipercayai bertindak mengamuk kemudian menumbuk isterinya beberapa kali di sebuah rumah panjang di Saeh Niah ditahan polis semalam.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu berkata, suspek berusia 31 tahun itu dikatakan bertindak demikian kerana cemburu kononnya isteri mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain.

“Dalam kejadian petang Rabu (4 Mei), suspek dikatakan secara tiba-tiba mengamuk kerana mengesyaki isterinya mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain.

“Mangsa yang merupakan suri rumah cedera pada bahu sebelah kiri dipercayai ditumbuk beberapa kali oleh suspek,” katanya dalam kenyataan.

Bertindak dari laporan yang dibuat, sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ)IPD Miri telah menahan suspek sekitar jam 1.15 pagi semalam.

Turut ditemui dan dirampas bersama suspek adalah sebilah parang berukuran 52 sentimeter panjang.

Hasil siasatan lanjut mendapati suspek mempunyai empat rekod melibatkan jenayah kekerasan.

Suspek kini sedang ditahan di lokap Balai Polis Pusat Miri.

Kes disiasat mengikut Seksyen 506, Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Akta 18A Akta Keganasan Rumah Tangga.

Next Post Previous Post