Sri Ram ketuai rayuan kerani dalam kes basikal lajak

Datuk Seri Gopal Sri Ram bersetuju untuk mengendalikan kes Sam Ke Ting

PUTRAJAYA—Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram akan mengetuai pasukan pembelaan dalam rayuan oleh kerani Sam Ke Ting terhadap sabitan dan hukuman penjara kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja yang menaiki basikal lajak.

Peguam Harvinderjit Singh, apabila dihubungi mengesahkan perkara itu.

Peguam itu berkata beliau akan hadir bersama Sri Ram untuk mewakili Sam, sambil menambah pelantikan mereka telah dimuktamadkan hari ini.

Harvinderjit Singh berkata Sam bertemu Sri Ram di pejabatnya hari ini dan beliau telah bersetuju untuk menjalankan rayuan itu bagi pihak Sam, sambil menambah peguamnya, Faizal Mokhtar juga akan menjadi sebahagian daripada pasukan perundangan itu.

Beliau berkata dia akan memaklumkan kepada timbalan pendaftar Mahkamah Rayuan mengenai pelantikan mereka dan juga akan meminta rekod rayuan disediakan untuk menyediakan kes serta petisyen rayuan.

Pengurusan kes bagi rayuan Sam ditetapkan di hadapan Timbalan Pendaftar Mohd Khairi Haron pada 11 Mei.

Pada 18 April lepas, Mahkamah Rayuan memberikan kebenaran kepada Sam untuk merayu terhadap sabitan dan hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 yang dijatuhkan ke atasnya oleh Mahkamah Tinggi.

Mahkamah Rayuan juga membenarkan permohonan Sam untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dan denda yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi pada 13 April dan dia dibebaskan dengan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu pendengaran rayuannya.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abu Bakar Katar menjatuhkan hukuman penjara dan denda ke atas Sam selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Majistret pada 10 Okt tahun lepas, yang melepas dan membebaskan wanita itu.

Beliau juga memerintahkan wanita itu dikenakan penjara tambahan enam bulan sekiranya gagal membayar denda dan larangan memandu selama tiga tahun selepas tamat menjalani hukuman. 

Sam yang berusia 22 tahun ketika kejadian, didakwa melakukan kesalahan itu pada 3.20 pagi, 18 Feb 2017 di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru, Johor.

Lapan remaja yang maut dalam tragedi itu ialah Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14; Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14; Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16; Fauzan Halmijan, 13; Mohamad Azhar Amir, 16; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14; Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14 dan Haizad Kasrin, 16. 

-- BERNAMA
Next Post Previous Post