Nyawa lima pemandu digesel sebuah lori treler, ibarat ‘telur di hujung tanduk’


MIRI— Nyawa ibarat 'telur di hujung tanduk', begitulah nasib lima pemandu kenderaan termasuk sebuah pacuan empat roda selepas digesel sebuah lori treler dalam kemalangan berdekatan Jalan Kampung Kayu Kapor dekat sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu, berkata dalam kemalangan itu, kesemua mangsa yang mengalami kecederaan ringan telah dihantar menggunakan ambulans dan kenderaan awam ke Hospital Miri untuk mendapatkan rawatan.

Katanya, sejurus mendapat maklumat sekitar jam 9.10 malam, sepasukan polis telah bergegas ke lokasi kejadian.


“Siasatan awal mendapati kemalangan berpunca dari lori treler yang datang dari arah Miri menuju ke Bintulu.

“Apabila sampai di satu selekoh dan menuruni bukit di Jalan Kampung Kayu Kapor, pemandu lori treler terbabit gagal mengawal kenderaan lalu masuk ke laluan bertentangan lalu bergesel sebelum melanggar beberapa kenderaan yang berada di hadapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Alexson menambah, impak daripada itu menyebabkan kenderaan termasuk sebuah pacuan empat roda terbabas ke bahu jalan sebelah kiri.

Kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59).
Next Post Previous Post