Notification

×

Iklan

Iklan

Siasatan kes hakim Mohd Mazlan selesai, SPRM serah kertas siasatan

| Mei 21, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-05-21T12:41:36Z
Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali 

KUALA LUMPUR— Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengemukakan kertas siasatan melibatkan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali kepada Jabatan Peguam Negara pada 18 Mei lepas untuk kajian dan arahan selanjutnya. 


SPRM dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya telah selesai melakukan siasatan kes itu.


“Siasatan yang bermula sejak Mac lalu telah dilengkapkan dengan mengumpulkan bukti-bukti berkaitan mengikut panduan dan prosedur yang ditetapkan,” menurut SPRM.


Pada 23 April lepas, akhbar tempatan melaporkan Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki mengesahkan suruhanjaya itu telah memulakan siasatan terhadap Mohd Nazlan berhubung dakwaan wang yang tidak dapat dijelaskan dalam akaunnya berikutan laporan rasmi yang dibuat berhubung perkara tersebut.


Baru-baru ini, Mohd Nazlan yang mendengar kes Datuk Seri Najib Tun Razak dan mensabitkan bekas perdana menteri itu dengan pertuduhan berkaitan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd, telah membuat laporan polis berhubung artikel berita yang mendakwa beliau sedang disiasat mengenai isu wang yang tidak dapat dijelaskan dalam akaun banknya.


Kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan pada 21 April memaklumkan bahawa Mohd Nazlan menafikan dakwaan palsu, tidak berasas dan berniat jahat itu yang bertujuan menjejaskan kredibiliti beliau sebagai seorang hakim serta mengganggu pentadbiran keadilan jenayah dan badan kehakiman.


-- BERNAMA

×
Berita Terbaru Update