Sanggup bayar tekong hingga RM2,000 untuk masuk Malaysia

Antara PATI yang ditahan ketika cuba menyeludup masuk ke negara ini menggunakan laluan ladang getah di Bukit Kayu HItam. Gambar kredit Markas 2 Divisyen 


KANGAR—Tekong darat yang membawa masuk pendatang tanpa izin ke negara ini boleh dianggap sebagai pengkhianat negara kerana tindakan mereka itu yang dipercayai kebanyakannya warga tempatan, seolah-olah menjual kedaulatan negara, kata Ketua Polis Perlis Datuk Surina Saad.


Beliau berkata daripada risikan yang dilakukan oleh pihak polis mendapati bahawa tekong darat mengenakan bayaran sekitar RM1,000 hingga RM2,000 seorang mengikut perjanjian yang dipersetujui dengan pendatang asing.


“Mengikut statistik sejak pembukaan pintu sempadan pada 1 April hingga 19 Mei lepas sebanyak 114 pendatang asing telah ditahan, 94 orang daripadanya merupakan warga Myanmar, seorang warga Indonesia, enam orang merupakan warga Thailand dan tiga daripadanya merupakan tekong warga tempatan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.


Surina berkata modus operandi yang digunakan tekong ialah pendatang asing dibawa masuk melalui pintu sempadan Thailand-Malaysia oleh seorang individu dan disambut individu lain untuk menghantar mereka ke destinasi lain di seluruh negara.


Beliau berkata polis juga telah mengesan beberapa kawasan atau laluan ‘hot spot’ yang digunakan tekong darat iaitu jalan laut di perairan Kuala Perlis, Sungai Udang dan Sanglang, jalan darat melalui kawasan ladang tebu di Padang Besar, ladang getah, Felda Mata Ayer dan laluan Kereta Api Tanah Melayu (KTM), Padang Besar serta kawasan pagar sempadan.


Surina berkata mereka yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan migran boleh didakwa mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 15 tahun, denda atau kedua-duanya sekali.


Justeru, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membantu pendatang tanpa izin menyediakan tempat persembunyian dan melindungi mereka termasuk pemandu e-hailing supaya tidak menggunakan perkhidmatan mereka membawa pendatang dari kawasan sempadan ke tempat dituju.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post