Notification

×

Iklan

Iklan

Konflik Rusia-Ukraine: Harga arang batu, gas dijangka melonjak

| Mei 26, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-05-26T03:16:03Z
Gas asli cecair (LNG) menjadi pilihan beberapa negara Asia berbanding arang batu (Gambar kredit Unsplash)

KUALA LUMPUR—Loji janakuasa arang batu akan kekal menjadi penyumbang utama dalam penjanaan kuasa Asia, sekurang-kurangnya buat masa ini, ketika dunia beralih kepada ekonomi yang lebih hijau dan mampan. 


Penggunaan arang batu nampaknya mengalami penurunan jangka panjang sebelum pandemik COVID-19 bermula tetapi sekatan pergerakan sepenuhnya di seluruh dunia dan pergolakan ekonomi telah mendorong peningkatan projek arang batu baharu pada 2020, terutamanya di China. 


Di Asia, pembinaan stesen janakuasa arang batu baharu kelihatan memberangsangkan dengan China menyumbang 52 peratus daripada 176 gigawatt kapasiti arang batu yang sedang dalam pembinaan di 20 negara pada tahun lepas.


Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Global Energy Monitor pada April tahun ini, jumlah kapasiti kuasa arang batu dalam pembangunan turun mendadak sekali lagi pada  2021, sebanyak kira-kira 13 peratus kepada 457 gigawatt (GW) daripada 525 GW, paras rekod rendah bagi loji baharu yang dalam pembinaan. 


Bilangan negara yang merancang pembinaan loji baharu juga turun kepada 34 negara daripada 41 negara pada permulaan 2021.


"Saya tidak pasti. Saya mungkin akan menggelarkannya satu peralihan kerana peralihan akan membayangkan penggunaan arang batu menurun dan penggunaan gas meningkat. Bagaimanapun, ia bukan berlaku seperti itu. Sejak 2005, kedua-dua permintaan arang batu dan juga gas asli global telah meningkat di seluruh dunia,” kata Pengarah Moody's Analytics Chris Lafakis kepada Bernama.


Beliau berkata di Asia, penggunaan gas dan arang batu telah meningkat dan peratusan penggunaan tenaga baharu daripada gas, dan bukannya arang batu, ketinggalan daripada purata global dengan China menjadi peneraju di rantau Asia Pasifik


"Manakala peratusan gas daripada gabungan peningkatan tenaga adalah 55 peratus gas di Asia. Bagi China, ia adalah sebanyak 82 peratus. Jadi walaupun penggunaan arang batu China terus meningkat, peningkatannya pada kadar yang lebih perlahan berbanding rantau Asia secara keseluruhannya,” katanya.  


Beberapa negara Asia dilihat telah beralih daripada arang batu.


Gas asli cecair (LNG) semakin menjadi pilihan di Vietnam ketika negara itu berusaha untuk beralih daripada penggunaan arang batu berintensifkan karbon, bergerak seiring dengan aliran serantau.  

 

Harga arang batu dan gas kekal tinggi.


Lafakis berkata harga gas dan arang batu akan kekal tinggi bagi semua bahan api fosil sepanjang tahun 2022.


“Kami menjangkakan harga akan menurun daripada paras semasa kepada paras yang masih kekal tinggi, namun larangan Kesatuan Eropah (EU) terhadap tenaga Rusia akan menyebabkan harga meningkat. 


Amerika Syarikat (AS) memberikan gambaran yang jelas mengenai kesan daripada pencerobohan Rusia,” tambahnya. 


Lafakis berkata harga gas asli AS meningkat hampir dua kali ganda sejak Rusia menyerang Ukraine dan AS mengeksport lebih banyak gasnya ke Eropah bagi mengimbangi kekurangan import Eropah dari Rusia, menjadikan AS sebagai pengeksport utama LNG di dunia pada Januari 2022.


Sementara itu, rakan pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata harga gas asli mungkin turun dalam tempoh jangka pendek kerana risiko kritikal dilihat telah berkurangan.


Bagaimanapun, beliau menyatakan bahawa jika alternatif tidak diperoleh, harga akan terus meningkat pada musim panas kerana pembekal gas terus mengumpul rizab untuk musim sejuk yang akan datang.


"Sementara itu, berita mengenai Sweden dan Finland yang semakin hampir menjadi ahli NATO (Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara) menyokong risiko berterusan terhadap landskap geopolitik EU yang sepatutnya menstabilkan harga gas," kata Innes kepada Bernama.

 

Kejutan harga makanan dan tenaga daripada krisis Rusia-Ukraine.


Menurut laporan Tinjauan Pasaran Komoditi terbaharu Bank Dunia yang dikeluarkan pada bulan April, perang di Ukraine boleh menyebabkan harga berada pada paras tinggi sehingga akhir 2024.


Bank itu berkata kenaikan harga tenaga sejak dua tahun lalu merupakan yang terbesar sejak krisis minyak pada tahun 1973. Kenaikan harga bagi komoditi makanan -- yang mana Rusia dan Ukraine merupakan pengeluar besar dan baja yang bergantung kepada gas asli sebagai input pengeluaran telah menjadi yang terbesar sejak terbesar sejak 2008.


Lafakis berkata wujud potensi kejutan harga makanan dan tenaga terutamanya untuk harga tenaga.


Beliau berkata pembekal minyak global tidak akan dapat bersaing dengan pertumbuhan permintaan minyak global menyebabkan harga meningkat manakala harga makanan berpotensi turun lebih cepat kerana lebih banyak komoditi pertanian boleh ditanam.


"Secara umum, jangan sesekali memandang rendah daripada segi penawaran ekonomi. Apabila ada insentif untuk menjana wang, harga tinggi menghantar petunjuk kukuh kepada pasaran untuk pelaburan tambahan," katanya.


Bagaimanapun, beliau memberi amaran bahawa jika bekas pelanggan Rusia terus mengelak daripada membeli minyak mentah Rusia, ia akan mengakibatkan kehilangan bekalan global.


"Eropah berkata bahawa Rusia bukan lagi pembekal global. Ini boleh menjadi lebih ketara pada tahun 2023 dan tahun-tahun seterusnya melainkan ekonomi global mengalami kemelesetan," kata Lafakis.


Innes berkata apabila negara-negara kaya mengurangkan aktiviti perdagangan antarabangsa dan lebih menumpukan kepada aktiviti perdagangan domestik, mereka tidak akan mengeksport komoditi mereka kerana bimbang gangguan cuaca boleh merosakkan tanaman.


"Sememangnya ini akan memberi tekanan kepada pengeluar bukan komoditi untuk mencari alternatif sambil membayar harga import yang tinggi kerana komoditi dalam pasaran terbuka semakin terhad.


"Harga komoditi itu sendiri hanyalah sebahagian kecil daripada kos makanan tetapi bahagian yang paling mahal ialah tenaga buruh yang kekurangan di negara-negara kaya. Jadi ia seperti harga naik secara eksponen pada kedua-dua kos (komoditi dan buruh) dalam pengeluaran makanan," tambahnya.


-- BERNAMA

×
Berita Terbaru Update