Rentap serah geran MRP RM182,000 kepada 16 PIBG

Rentap (tujuh kanan) bergambar bersama wakil sekolah selepas penyampaian geran MRP di Pusat Khidmat DUN Layar

BETONG— Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu menyampaikan cek geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada 16 buah sekolah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Layar berjumlah RM182,000.

Cek tersebut diserahkan kepada pengurusan Persatuan Ibu Bapa Dan Guru (PIBG) sekolah dalam satu majlis ringkas di Pusat Khidmat DUN Layar dekat sini.

Berucap pada majlis itu, Rentap yang juga merangkap ADUN Layar berharap pengurusan sekolah dan PIBG memanfaatkan sumbangan kewangan yang diterima sepenuhnya demi kebaikan sekolah dan para pelajar.

"Saya banyak menerima aduan daripada sekolah berhubung keperluan pembangunan sekolah dan naik taraf yang memerlukan sokongan kewangan.

“Justeru saya berharap geran ini digunakan sebaiknya untuk menambahbaik atau membaiki sebarang kerosakan di sekolah,” katanya.

Beliau menambah, kerajaan akan melakukan yang terbaik untuk membantu termasu menyalurkan peruntukan bagi menyediakan pembelajaran dan pengajaran yang kondusif.

"Kita akan cuba membantu namun ia terhad kerana perlu mengikut prosedur yang digariskan kerajaan persekutuan memandangkan sekolah adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Pelajaran Malaysia,” jelasnya.

Majlis turut dihadiri oleh pengetua, guru besar, Yang Dipertua (YDP) PIBG dan wakil sekolah.
Next Post Previous Post