Dua kedai roti kotor di Bintulu diarah tutup

Keadaan dapur kedai yang kotor dan tidak kemas. Gambar kredit Pejabat Kesihatan Bahagian Bintulu

BINTULU—Dua buah kedai roti di sini diarah tutup oleh Pejabat Kesihatan Bahagian Bintulu (PKBB) selepas beroperasi dalam keadaan kotor.

Semasa pemeriksaan, didapati peralatan dan bahan yang digunakan dalam penyediaan makanan tersebut dalam keadaan kotor dan tidak terurus.

Bahan mentah yang tidak ditutup selepas dipakai di sebelah tingkap yang terbuka akan mengundang kepada kemasukan makhluk perosak. Gambar kredit Pejabat Kesihatan Bahagian Bintulu

Pegawai Kesihatan Bahagian Bintulu, Dr Melvin Chung dalam kenyataannya hari ini berkata, daripada 14 buah kedai roti yang dibuat pemeriksaan itu, dua daripadanya gagal mematuhi aspek kebersihan yang ditetapkan.

Premis terbabit katanya diarah tutup selama dua hari bagi menjalankan kerja-kerja pembersihan.

Dulang pembakar yang berkarat dan kotor. Gambar kredit Pejabat Kesihatan Bahagian Bintulu

"Dalam masa sama, pemeriksaan yang dijalankan anggota penguatkuasaan PKBB turut mengeluarkan tiga kompaun bernilai RM7, 500 terhadap premis yang didapati mengabaikan aspek kebersihan," ujarnya.

Menurut beliau, di bawah Peraturan 34, Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009, adalah menjadi kewajipan setiap pengusaha premis untuk memastikan premis serta tempat makanan disediakan berada dalam keadaan bersih.

Peti sejuk berkulat dan bekas penyimpanan retak. Gambar kredit Pejabat Kesihatan Bahagian Bintulu

Justeru itu katanya, aspek kebersihan harus sentiasa menjadi keutamaan buat setiap pengusaha kedai roti atau bakeri bagi memastikan setiap roti serta makanan disediakan secara sihat dan bersih.

Sebarang pertanyaan berhubung keselamatan dan kualiti makanan katanya boleh dirujuk kepada Unit Keselamatan dan Kualiti Makanan, Pejabat Kesihatan Bahagian Bintulu di talian 086-858200.
Next Post Previous Post