Penyewa durjana berhutang sewa RM3,000 - larikan harta benda RM22,000, tinggal bil RM9,000

Suspek (tengah) ditahan bersama rakannya untuk membantu siasatan. Gambar IPD Miri

MIRI--Seorang lelaki bukan sahaja meninggalkan tunggakan sewa bulanan rumah yang didiaminya hingga mencecah RM3,000 malah melarikan diri bersama-sama barang-barang milik tuan rumahnya itu.

Dalam kejadian pada Selasa itu, pemilik rumah terbabit seorang wanita warga emas berusia 73 tahun tergamam apabila mendapati rumahnya 'kosong dan licin' apabila datang hendak mengutip duit sewa daripada penyewanya itu.

Mangsa telah tampil membuat satu laporan polis berhubung kejadian.

Antara barangan yang dilaporkan hilang dipercayai dilarikan suspek seperti empat unit penghawa dingin, empat buah katil, sebuah sangkar anjing, sebuah peti sejuk, tilam dan almari masing-masing empat buah.

Kerugian dianggarkan mencecah RM22,000.

Difahamkan, penyewa turut meninggalkan tunggakan bil air dan elektrik sebanyak RM9,000.

Bertindak daripada laporan yang dibuat, sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri telah menahan suspek berusia 27 tahun bersama rakannya petang Jumaat sekitar jam 5.30 petang.

Tangkapan disahkan Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
Next Post Previous Post