PDP nekad tawan semula kerusi Parlimen Mas Gading dan Saratok
Datuk Henry Harry Jinep |
BAU—Parti Demokratik Progresif (PDP) meletakkan harapan tinggi untuk merampas semula kerusi Parlimen Mas Gading pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.
Naib Presiden PDP, Datuk Henry Harry Jinep berkata, beliau yakin kerusi tersebut akan berjaya ditawan semula oleh PDP dengan bertanding atas tiket Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Katanya, selain Bintulu yang dikuasai Presiden PDP, Datuk Seri Tiong King Sing, satu lagi kerusi Parlimen milik parti sebelum ini ialah Baram (Anyi Ngau).
"Bagi dua kerusi Parlimen yang sebelum ini juga milik PDP iaitu Saratok (Ali Biju- Bersatu) dan Mas Gading (Mordi Bomol- Parti Tindakan Demokratik (DAP) akan kita rampas kembali.
"PDP akan memilih calon dan menghantar senarai nama kepada pucuk pimpinan tertinggi GPS untuk ditentukan siapa yang akan bertanding kelak," katanya kepada pemberita ketika ditemui di pusat penjaja 'Tasik Biru Food Village' di sini, hari ini.
Bagaimanapun kata Henry yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, setakat ini belum ada keputusan pemilihan calon daripada parti namun beliau berharap agar PDP dapat memenangi semula dua kerusi Parlimen tersebut.
Pada PRU-14 lalu, Mordi Bimol daripada DAP berjaya menewaskan calon PDP yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) iaitu Anthony Nogeh Gumbek dengan meraih 12,771 undi mengalahkan Nogeh Gumbek yang meraih undi sebanyak 9,747.
Kemenangannya pada PRU ke-14 itu dianggap mengejutkan kerana dia berjaya mengalahkan penyandangnya, Anthony Nogeh Gumbek.
Sehubungan itu, Henry berkata PDP nekad untuk menawan semula kerusi parlimen berkenaan sebagai usaha memberikan perkhidmatan dan pembangunan yang sewajarnya diberikan kepada masyarakat di Parlimen Mas Gading.
"Kini di Mas Gading, masyarakat telah melihat, memerhati dan menilai sendiri keadaan parlimen mereka yang ditadbir oleh wakil pembangkang.
"Justeru itu, kita memerlukan wakil daripada GPS supaya dapat bekerjasama dengan ADUN tempatan untuk membawa kawasan di bawah pentadbiran Parlimen Mas Gading terutamanya di DUN Opar, pelbagai pembangunan serta kemudahan demi kebaikan masyarakat di sana.
"Ia susulan Ahli parlimen Mas Gading pada masa ini (Mordi Bimol) hanya duduk diam dan tidak melakukan apa-apa untuk DUN Opar, disebabkan itu kita harus menuntut kerusi milik PDP berkenaan demi keselesaan dan kemajuan rakya,” katanya.
Terdahulu, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-14 Billy Sujang (GPS-PDP) berjaya menewaskan mentornya, Datuk Ranum Mina apabila memenangi DUN Opar dengan majoriti 1,689 undi pada PRN-12 ini.
Billy yang bertanding menggunakan tiket GPS mendapat 3,659 undi, manakala Ranum yang merupakan penyandang DUN Opar selama empat penggal dan bertanding sebagai calon Parti Sarawak Bersatu (PSB) mendapat 1,970 undi.