Parti komponen GPS perlu bersatu untuk pertahankan hak Sarawak

Henry mengambil bahagian semasa Program Demonstrasi Memasak Masakan Borneo di Tasik Biru Food Village, Bau hari ini.

BAU—Setiap parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) perlu mengenepikan kepentingan peribadi dan mengutamakan kepentingan parti dan rakyat pada setiap masa.


Naib Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP), Datuk Henry Harry Jinep berkata, apabila seseorang calon diumumkan mewakili GPS, semua parti komponen mesti akur dan bekerjasama supaya dapat memberi kemenangan kepada calon tersebut.


Katanya, ia sebagai usaha mengelakkan berlakunya kegiatan sabotaj dalam parti komponen terutama pada saat-saat akhir.



"Itulah perkara yang ditegaskan Premier Sarawak merangkap Presiden GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg kepada semua parti komponen. Sebaik sahaja calon diumumkan, semua ahli mesti bersama-sama menyokong keputusan itu.


"Ini kerana tiada kepentingan peribadi dalam membuat keputusan memilih seseorang calon," katanya kepada pemberita ketika ditemui di pusat penjaja 'Tasik Biru Food Village' selepas menyempurnkan program Demonstrasi Memasak Masakan Borneo 

di sini, hari ini.


Menurut Henry yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, sebagai salah sebuah parti komponen dalam GPS, PDP sentiasa berpegang kepada prinsip kesetiaan dalam parti demi kesejahteraan rakyat.


Tegas beliau lagi, sekiranya pucuk pimpinan telah mengumumkan nama calon, semua ahli mesti memberikan sokongan kepada calon tersebut sekali gus menerapkan nilai kesetiaan dalam kalangan parti komponen.


"Anda tidak boleh mengatakan kesetiaan kepada parti dan setelah pimpinan teratas menentukan calon yang layak bertanding, tiba-tiba ada pihak dalam kalangan parti yang tidak berpuas hati. Perkara itu tidak sewajarnya berlaku.


"Justeru, kita tidak boleh biarkan perkara ini berlaku terutama pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 akan datang kerana kita mahu memenangi semua kerusi untuk GPS, supaya kita mempunyai suara yang lebih kuat untuk berjuang dan mendapatkan semula hak dalam MA63 (Perjanjian Malaysia 1963).


"Kita mahu berunding dan mendapatkan kembali hak dalam MA63 menerusi wakil daripada Sarawak di peringkat Parlimen. Ini kerana mereka membawa suara rakyat Sarawak dan disebabkan itu, GPS mesti memenangi semua 31 kerusi Parlimen pada PRU-15 nanti," katanya.


Terdahulu, Abang Johari turut menyeru agar setiap parti komponen GPS bertindak secara serentak dan mempunyai objektif yang sama agar dapat mempertahankan hak Sarawak demi masa depan rakyatnya.


Mengimbau kemenangan GPS memenangi 76 daripada 82 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lepas, Abang Johari berkata perpaduan yang kukuh dalam perikatan itu telah membantunya merampas semula beberapa kerusi daripada pembangkang.


“Kemenangan besar itu menunjukkan GPS sudah bersedia untuk menghadapi pilihan raya umum ke-15, dan berharap untuk memenangi semua 31 kerusi Parlimen di Sarawak,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tiga Tahunan (TGM) Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) ke-25 di sini baru-baru ini.

Next Post Previous Post