Operasi khas akan dilancarkan, 'buru' lori lebih muatan guna feri di Sarawak

Sebuah lori dengan muatan sawit yang lebih muatan 'tersangkut' ketika hendak masuk menggunakan perkhidmatan feri di Batang Igan.

KUCHING—Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak akan mengadakan operasi khas bagi memburu lori-lori yang ingkar peraturan jalan raya dengan membawa lebih muatan terutamanya di pangkalan perkhidmatan feri di seluruh negeri ini.

Pengarah JPJ Sarawak, Norizan Jili berkata pemantauan akan terus dipergiatkan dari semasa ke semasa di semua lokasi di Sarawak bagi membendung isu tersebut. 

Kejadian itu menyebabkan besi penghadang had ketinggian kenderaan yang dipasang di laluan pangkalan feri berkenaan rosak selain menyebabkan kesesakan di laluan berkenaan sekali gus menyukarkan pengguna lain.

"Kita (JPJ) mengambil maklum tentang kenyataan yang dibuat Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Dato Dr Juanda Jaya berhubung isu ini.

"Kita bagi pihak JPJ Sarawak memandang serius isu lori lebih muatan ini dan bagi memastikan perkara ini tidak berulang pemeriksaan akan dibuat dari semasa ke semasa.

"Pada masa sama tindakan akan diambil dan kita akan ke lokasi-lokasi (pangkalan feri) untuk membuat pemantauan menerusi operasi khas yang akan dijalankan," katanya pada sidang media selepas mengadakan tinjauan pelaksanaan Op Hari Raya Aidilfitri 2022 (OP HRA 2022) di Terminal Bus Sentral, Kuching.

Terdahulu, beliau mengiringi Pengarah Kanan JPJ Malaysia Datuk Lokman Jamaan mengadakan tinjauan pelaksanaan OP HRA 2022 di Terminal Bus Sentral, Kuching hari ini.

Norizan Jili (dua kiri) semasa mengiringi Pengarah Kanan JPJ Malaysia Datuk Lokman Jamaan mengadakan tinjauan pelaksanaan OP HRA 2022 di Terminal Bus Sentral, Kuching hari ini.

"Kita akan membuat pemeriksaan dari Kuching hingga Mukah bagi memastikan perkara ini dapat dibendung kerana kita memandang serius isu lori lebih muatan ini agar dapat dipastikan perkara ini tidak kembali berulang," tambah Norizan.

Baru-baru ini Dr Juanda yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng memuat naik hantaran di Facebooknya selepas berlakunya sebuah lori dengan muatan sawit yang lebih muatan 'tersangkut' ketika hendak masuk menggunakan perkhidmatan feri di Batang Igan.

Akibat kejadian itu, besi penghadang had ketinggian kenderaan yang dipasang di laluan pangkalan feri berkenaan rosak selain menyebabkan kesesakan di laluan berkenaan sekali gus menyukarkan pengguna lain.

Terdahulu, Lokman pada sidang media itu memaklumkan OP HRA 2022 membuahkan hasil sejak ia dilancarkan pada 29 April lalu dan tamat hari ini.

Jelasnya, sebanyak enam terminal bas dan 116 buah bas di Sarawak telah diperiksa sepanjang tempoh itu.

"Sepanjang pemeriksaan dan penguat kuasaan OP HRA 2022 ini, pengusaha bas di sini mengikuti spesifikasi yang ditetapkan.

"Bagaimanapun, terdapat dua notis arah periksa dikeluarkan kerana terdapat spesifikasi tidak memuaskan hati," katanya.

Selain itu, sebanyak kenderaan berat yang tidak sepatutnya berada di jalan raya ketika musim perayaan ini telah ditahan.

Pada masa yang sama beliau memberitahu sebanyak 5,364 kenderaan telah diperiksa yang menyaksikan 866 saman notis kesalahan kenderaan awam dikeluarkan.

"Ini menunjukkan masih terdapat segelintir enggan mematuhi peraturan jalan raya," tegasnya lagi.

Sehubungan itu, katanya mereka yang gagal mematuhi peraturan akan dikenakan tindakan tegas.
Next Post Previous Post