Mayat di tengah jalan, lelaki didakwa bunuh

Tertuduh (tengah) dibawa keluar dari Kompleks Mahkamah Miri selepas sidang pagi tadi.

MIRI--Seorang pemuda berusia 36 tahun didakwa di Mahkamah Majistret Miri hari ini atas tuduhan terlibat dalam kes bunuh seorang lelaki di Jalan Boulevard 2B pada 19 Mei lalu.


Tertuduh didakwa di hadapan Majistret Nazira Adlin Ahmad Khairul Razi mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


Bagaimanapun, selepas pertuduhan selesai dibacakan, tiada sebarang pengakuan bersalah direkodkan.


Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan bunuh dengan menyebabkan kematian mangsa.


Tertuduh melakukan kesalahan itu antara jam 1 hingga 3 pagi pada 19 Mei lalu di Jalan Boulevard 2B.


Pendakwaan dilakukan Inspektor Syahrizan Taha, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


Mahkamah kemudiannya menetapkan 1 Julai sebagai tarikh sebutan semula kes.


Terdahulu, pada 19 Mei yang lepas, mayat seorang lelaki telah ditemui terbaring di tengah laluan di Jalan Boulevard 2B dengan kesan kecederaan pada bahagian kepala dipercayai dipukul menggunakan objek keras.

Next Post Previous Post