Lumba haram: 50 mat rempit tolak motosikal sejam ke balai
Sebahagian motosikal yang disita dalam operasi samseng jalanan di Bayan Lepas awal pagi ini. Gambar kredit JSPT Pulau Pinang |
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Pulau Pinang Supt Zafri Zolkapli, yang mengetuai operasi bermula 12 tengah malam itu berkata, kesemua penunggang motosikal itu cuba melarikan diri dengan memecut laju, namun mereka gagal meloloskan diri berikutan laluan dari arah Batu Maung menuju pusat bandar terlebih dahulu dikepung polis.
"Pihak polis menjalankan operasi susulan aduan orang ramai berhubung kegiatan sekumpulan penunggang motosikal yang sering menunggang secara berbahaya dan membuat bising di kawasan itu.
"Berdasarkan risikan dan intipan pasukan polis, ada dalam kalangan mereka yang melakukan aksi tunggangan ‘ala superman’, meniarap atas motosikal dan mengangkat kedua-dua belah tayar motosikal," katanya ketika dihubungi hari ini.
Zafri berkata kesemua penunggang motosikal yang berumur belasan tahun hingga 30 tahun yang ditahan itu, kemudian diarah menolak motosikal masing-masing sambil diiringi polis selama sejam hingga ke Balai Polis Bayan Lepas.
“Polis turut menyita 50 motosikal dan dua kereta serta mengeluarkan 150 saman atas pelbagai kesalahan,” katanya.
-- BERNAMA