Lelaki temui ajal, kereta berlanggar bas ketika keluar simpang

Gambar kredit Trafik sarawak

BAU—Seorang lelaki yang patah tulang rusuk dan mengalami pendarahan dalaman selepas kereta dipandunya berlanggar dengan sebuah bas di Jalan Bau-Batu Kawa disahkan meninggal dunia di Hospital Bau hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintenden Bingkok John berkata, mangsa dikenali sebagai Syafarino Bagus, 39, beralamat di Kampung Rayu Melayu, Jalan Hidupan Liar Matang.

"Mangsa telah menerima rawatan di wad kecemasan Hospital Bau selepas cedera parah iaitu kedua-dua belah tulang rusuknya patah dan pendarahan dalaman dalam perut.

"Mangsa telah disahkan meninggal dunia pada jam 1.06 petang tadi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Bingkok memberitahu, kemalangan itu berlaku sekitar jam 10.40 pagi semasa mangsa memandu kereta jenis Perodua Kenari.

Jelasnya, semasa di Kilometer 14.5 Jalan Bau-Batu Kawa, bas yang dipandu seorang lelaki berusia 63 tahun dalam perjalanan dari Kuching menuju ke Lundu/Sematan.

"Manakala mangsa dari arah Simpang Musi menghala ke Batu Kawa, apabila bas tersebut sampai di tempat kejadian, mangsa telah keluar dari Simpang Musi.

"Akibat kemalangan ini, mangsa telah mengalami kecederaan parah iaitu patah kedua-dua tulang rusuk dan pendarahan dalaman dalam perut," katanya.

Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia di Hospital Bau semasa menerima rawatan.

Tegasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sehubungan itu, katanya polis sedang mengesan saksi di tempat kejadian.
Next Post Previous Post