Lelaki maut disyaki mangsa serangan buaya

Sungai Kangka, tempat penemuan kepala mangsa. 

LUNDU—Seorang lelaki yang dilaporkan hilang dipercayai dibaham buaya di Sungai Kampung Kangka di sini semalam selepas kepalanya ditemukan hanyut. 


Ketua Polis Daerah Lundu DSP Damatarius Lautin berkata, mangsa dikenalpasti sebagai Sebarang Bingkok, 56, berasal dari Kampung Kangka Sempadi, Lundu yang dilaporkan hilang sekitar jam 3 petang tadi setelah disahkan oleh ahli keluarga mangsa. 



"Pada jam 5 petang, pengadu bersama abangnya pergi menyusuri  Sungai Kangka menaiki perahu untuk mencari mangsa. 


"Kira-kira sekitar jarak satu kilometer dari pangkalan di kampung itu, mereka telah menjumpai bahagian kepala bapa pengadu yang hanyut dibawa arus, dipercayai telah dibaham buaya," katanya dalam kenyataan.



Berikutan penemuan itu, Damatarius berkata, ahli keluarga mangsa tampil membuat laporan polis. 


Jelasnya lagi, bahagian kepala mangsa telah dibawa ke Hospital Lundu untuk siasatan lanjut. 


Tambahnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) akan dimulakan hari ini sekitar jam 8 pagi bagi mencari bahagian lain anggota badan mangsa.

Next Post Previous Post